“KITA lebih mementingkan aspek kualiti berbanding kuantiti.”
Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai jumlah penyertaan atlet Malaysia yang akan bertanding pada Sukan Olimpik London 2012 lebih kecil berbanding ketika temasya 2008 di Beijing.
Meskipun kecil, Ahmad Shabery menyifatkan atlet negara yang bertanding pada bulan Julai nanti adalah antara yang terbaik, bukan sahaja di Malaysia, malah di dunia.
Berbanding 33 atlet ketika bertanding di Beijing 2008, Sukan Olimpik 2012 menyaksikan Malaysia menghantar 27 atlet.
Daripada jumlah itu, tujuh jenis sukan berjaya menempah tiket secara merit untuk beraksi pada Sukan Olimpik di London, Julai depan.
“Biarpun jumlah penyertaan terkini adalah 26 atlet, apa yang penting ialah kualiti yang ditonjolkan oleh mereka yang bertanding nanti.
“Bukan itu sahaja, peluang mereka untuk meraih emas lebih besar tanpa mengharap kepada badminton sematamata,” katanya selepas melancarkan kempen Road to London 100Plus dan Majlis Sukan Negara (MSN) Untuk Menyokong Pasukan Malaysia 2012.
Sehingga kini, badminton (enam), memanah (empat), berbasikal trek (tiga), berbasikal lebuh raya (dua) dan masing-masing seorang bagi acara menembak, lawan pedang dan angkat berat sudah disahkan tiket penyertaan mereka.
“Kita menyandarkan harapan kepada atlet akuatik- renang untuk menambah jumlah penyertaan kita.
“Kita berharap, keputusan untuk bertanding di bawah tiket kategori B yang akan disahkan oleh Persekutuan Akuatik Antarabangsa (Fina) akan menyebelahi kita,” katanya.
Di samping itu, tidak timbul kegusaran dari aspek jumlah penyertaan kerana Malaysia mempunyai kelebihan dari segi usia bagi menyumbang pingat emas pertama negara, terutamanya pada Sukan Olimpik 2016.
“Atlet seperti Pandelela dan Azizulhasni masih mempunyai masa untuk menyumbangkan emas kepada negara atas faktor usia.
“Namun, sekiranya mereka mampu meraih emas pertama negara, ia satu bonus. Sekiranya tidak, ia akan dianggap sebagai pendedahan terbaik yang diperoleh mereka,” kata Ahmad Shabery.
“Umpamanya, Azizulhasni. Jika prestasinya baik pada Sukan Olimpik kali ini, dia mampu meraih kejayaan.”
Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my
0 comments:
Post a Comment