Pages

Monday, May 28, 2012

Pei Tty-Eei Hui tetap buat persiapan rapi

WONG Pei Tty-Chin Eei Hui tetap melakukan persiapan untuk ke Olimpik London, biarpun nama mereka tidak berada dalam senarai pemain yang layak ke temasya sukan terbesar dunia itu Julai hingga Ogos depan.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak berkata, gandingan itu mesti bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana status sebagai pemain simpanan pertama beregu wanita ke temasya itu tetap menghidangkan peluang tipis untuk mereka beraksi.

“Pei Tty-Eei Hui tetap menjalani latihan seperti biasa kerana apa-apa boleh berlaku sekiranya ada pemain yang layak ke Olimpik menarik diri akibat kecederaan atau masalah lain,” kata Rosman.
“Saya tahu peluang mereka bermain di Olimpik kelihatan sukar kerana mana ada pemain yang tidak mahu beraksi di Olimpik tapi sebagai atlet, Pei Tty-Eei Hui perlu sentiasa bersedia.

“Kini, pemain Afrika Selatan belum sah ke London atau tidak kerana kerajaan mereka belum pasti memberi kebenaran untuk mereka. Kita doakan saja semoga Pei Tty-Eei Hui dapat beraksi.” Pemain yang layak ke Olimpik dikira berdasarkan raking dunia BWF pada 3 Mei dan Pei Tty-Eei Hui berada di kedudukan ke-21 dunia.

Hanya 16 pemain beregu bersaing di pentas Olimpik dan pemain yang berada dalam senarai 16 terbaik dunia layak secara automatik mengikut kuota ditetapkan bagi sesebuah negara.

Justeru, Pei Tty-Eei Hui akan beraksi di GP Emas Terbuka Thailand 5-10 Jun ini dan Siri Super Terbuka Singapura 19-24 Jun sebagai persiapan terakhir ke Olimpik.


Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...