Pages

Sunday, May 27, 2012

Heidi ke Portugal buru tiket Olimpik

KUALA LUMPUR - Perenang perairan terbuka negara, Heidi Gan akan ke Teluk Setubal, Portugal bulan depan dengan misi untuk mencipta sejarah sebagai atlet pertama Malaysia layak ke Olimpik dalam sukan renang maraton.

Heidi, yang membolot pingat emas berganda acara 5,000 dan 10,000 meter pada Sukan SEA XXVI November lalu, adalah antara 35 wanita dari 21 buah negara yang mengintai baki 15 slot pada saingan Kelayakan Renang Maraton Olimpik FINA, 9-10 Jun ini.

Olimpik London menawarkan hanya 25 tiket untuk setiap kategori (lelaki dan wanita), dengan 10 perenang terawal yang layak telah ditentukan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai, tahun lalu.
Perenang berusia 23 tahun yang berpangkalan di Perth, Australia itu berkata, saingan kelayakan di Portugal pada 9-10 Jun ini memang menjadi sasaran utamanya dan awal-awal lagi telah membuat persiapan ke arah matlamat itu.

"Saya mula menjalani progam latihan dengan saingan kelayakan Olimpik dalam minda saya sebelum Sukan SEA lagi. Sebenarnya, saya tidak pasti sama ada saya akan bertanding atau tidak di Portugal sehingga keputusan Sukan SEA diketahui.

"Matt Magee, jurulatih yang membimbing saya menyediakan bentuk latihan yang mengandaikan saya akan berenang di Portugal kerana renang perairan terbuka memerlukan orientasi dan program latihan tersusun untuk jangka panjang... hasilnya begitu memuaskan, dua emas terhasil di Indonesia," katanya yang dihubungi menerusi emel.

Heidi bagaimanapun sedar cabaran yang bakal dihadapinya bulan depan adalah pentas yang sama sekali jauh berbeza berbanding Asia Tenggara. Justeru dia tidak mahu meramalkan sejauh manakah peluangnya untuk layak.

"Adalah sukar untuk menilai tahap saingan dalam sukan ini kerana yang penting adalah kedudukan akhir di garis penamat, bukannya catatan masa. Saya sudah meneliti senarai pesaing-pesaing saya, namun saya tidak pasti di manakah kedudukan saya berbanding mereka.

"Jurulatih ada berkongsi latar belakang segelintir mereka dan dari situ saya akan terbabit dalam saingan yang cukup sengit. Apa sekali pun, saya cukup bersedia, saya kini mampu berenang jauh lebih pantas.
"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran, tetapi jika dapat memecah masuk kedudukan 20 terbaik, itu sudah cukup bagus memandangkan saya masih baru dalam sukan ini. Lagi pun, untuk berkesempatan ke Portugal untuk berentap dengan mereka yang terbaik, ia sudah cukup mengghairahkan," katanya.



- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...