Pages

Thursday, May 10, 2012

Parlimen: 26 Atlet Malaysia Layak Ke Olimpik Setakat Ini

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Dua puluh enam atlet daripada tujuh jenis sukan setakat ini, layak secara merit ke Sukan Olimpik di London, Julai depan, persidangan Dewan Negara diberitahu Khamis.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata mereka terdiri daripada lapan atlet bagi acara akuatik-terjun, badminton (enam), memanah (empat), berbasikal trek (tiga), berbasikal lebuh raya (dua) dan masing-masing seorang bagi acara menembak, lawan pedang dan angkat berat.

"Bagi atlet untuk acara akuatik-renang, kita sedang menunggu keputusan daripada Persekutuan Akuatik Antarabangsa (Fina) untuk layak di bawah kategori B.

"Negara meletakkan harapan utama memenangi pingat emas di Sukan Olimpik dalam acara badminton khususnya menerusi Datuk Lee Chong Wei. Sukan berbasikal terutamanya melalui Azizulhasni Awang juga mampu membuat kejutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah mengenai penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik London termasuk bilangan atlet, sasaran emas selain perancangan awal untuk Sukan Olimpik 2016 dan 2020.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...