Pages

Friday, May 18, 2012

Asum ketepi baki sirkit, tumpu Olimpik

SELEPAS tampil memberangsangkan di Grand Prix Fina, skuad terjun negara kini selamat tiba di tanah air dengan tidak menyertai baki tiga lagi sirkit iaitu di Russia, Sepanyol dan Itali.
Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Edwin Chong berkata, langkah itu diambil agar skuad meletakkan tumpuan sepenuhnya pada Olimpik yang berbaki kurang 70 hari saja lagi.

“Skuad terjun diberi bayangan mampu membawa pulang pingat emas pertama di London. Itu satu tanggungjawab besar yang sukar kami letakkan ramalan.
“Skuad perlu siap sedia dan selaku badan yang menjaga kebajikan atlet, kami perlu memantau keselamatan serta menghindarkan mereka dari berdepan sebarang kecederaan.

“Oleh itu, cukup saja dengan Kejohanan Dunia setakat ini dan mereka sudah melakukan yang terbaik hingga membuatkan kami lebih dari bangga. Dengan baki kurang tiga bulan menjelang Olimpik ini, skuad akan menjalani latihan intensif di Bukit Jalil saja,” katanya, semalam.

Grand Prix Fina 2012 membabitkan enam sirkit, bermula di Rostock (Jerman) 10 hingga 12 Februari disusuli di Montreal (Kanada) 3 hingga 6 Mei, Fort Lauderdale (AS) 10 hingga 13 Mei, St Petersburg (Russia) 8 hingga 10 Jun, Madrid (Sepanyol) 15-17 Jun dan terakhir di Bolzano (Itali) 22 hingga 24 Jun.

Menerusi penyertaan di dua sirkit (Kanada dan AS), Malaysia buat pertama kalinya gah menduduki kedudukan 10 terbaik dengan Pandelela Rinong menduduki ranking kedua untuk acara 10 meter platform individu di belakang China, Wu Shengping. Gandingan 10m platform seirama wanita meletakkan Malaysia di ranking keenam. Sementara itu, Huang Qiang kukuh menduduki ranking ketujuh dunia acara 3m papan anjal individu manakala Bryan Nickson Lomas berada di ranking ke-11 acara 10m platform individu, manakala dua gandingan ini meletakkan Malaysia di ranking kelima dunia.


Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...