Pages

Wednesday, August 1, 2012

Azizulhasni selesa status underdog

AzizulHasni Awang (depan) dan Fatehah Mustapa giat menjalani latihan di Velodrom Olimpik di London, semalam. 
 
LONDON - Kebangkitan mendadak pelumba dari China dan Jepun sejak berakhirnya Temasya Beijing 2008 menjadikan Mohd. Azizulhasni Awang lebih berwaspada selain ancaman daripada tuan rumah Great Britain dan Perancis yang mampu merobek impiannya untuk menjulang pingat emas di London.
Pun begitu, Azizulhasni percaya persiapan rapi yang dibuat sebelum ini dan tahap keupayaannya yang sudah mencapai kemuncak prestasi seperti yang dirancang oleh ketua jurulatih John Beasley, menjadikan dia lebih yakin untuk melakukan kejutan pada Sukan Olimpik London 2012.

''Saya tidak boleh terlalu beri perhatian kepada juara Olimpik dari Britain, Chris Hoy dan juara dunia Gregory Bauge dari Perancis kerana pelumba China, Jepun dan Jerman juga mampu memberi ancaman," katanya yang ditemui selepas latihan di Velopark di sini, semalam.

Di Olimpik Beijing empat tahun lalu Azizulhasni tewas kepada Hoy pada perlumbaan suku akhir acara pecut untuk menduduki tempat kelapan manakala dalam keirin dia kecundang dalam separuh akhir untuk kedudukan sembilan terbaik dunia.

Raja Keirin Asia yang menggondol emas pada Sukan Asia Guangzhou 2010 itu memberitahu, dia sudah pulih 100 peratus daripada insiden jatuh di Koln, Jerman seminggu sebelum tiba di sini.
Ini adalah insiden kemalangan kedua selepas kakinya tersusuk serpihan kayu trek semasa berlumba di Piala Dunia Klasik dekat Manchester, sebelum ini. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...