Pages

Monday, August 6, 2012

Doakan Azizulhasni menang


LONDON - Selepas kempunan melihat pingat emas dalam acara badminton, tanggungjawab itu kini di atas bahu pelumba trek sensasi negara Mohd. Azizulhasni Awang (gambar) yang sudah sedia untuk mengerah seluruh kudratnya bertarung dalam acara keirin dekat trek Velopark di sini, hari ini.
Mengakui tidak tertekan dengan harapan tinggi yang disandarkan itu, Azizulhasni berkata, dia akur harapan mendapatkan kilauan emas kini berada dalam tanggungjawabnya dan atlet terjun, Pandelela Rinong.

"Jika saya berasa tertekan, saya tidak akan berada di sini (London) dan mungkin dari dulu lagi saya tarik diri. Kini mungkin tinggal saya dan Pandelela tapi saya menganggap sandaran itu sebagai misi negara dan bukan peribadi.

"Jadi, saya perlu memberikan lebih daripada yang terbaik kerana negara itu lebih penting daripada diri saya sendiri. Ramai yang menaruh harapan dan jika menang, mungkin arena basikal negara akan berubah sepenuhnya," katanya yang akan beraksi pada pukul 4 petang waktu Malaysia.

Paling menarik, Azizulhasni yang digelar The pocketrocketman mendapat talaan semangat baru apabila ibunya, Selamiah Yong turut dibawa khas ke sini untuk memberikan sokongan kepadanya.

Badminton yang menjadi harapan untuk menghasilkan pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan negara selama 56 tahun sejak Melbourne 1956 tidak kesampaian apabila pemain perseorangan Datuk Lee Chong Wei kalah kepada jaguh China, Lin Dan pada perlawanan akhir sekali gus meletakkan Azizulhasni sebagai sandaran untuk mengubat kekecewaan.

Menyifatkan sudah bersedia 100 peratus, Azizulhasni berkata, acara pecut yang menyaksikan dia menduduki tempat ke-8 keseluruhan kelmarin, menyediakan peluang terbaik untuknya memanaskan badan dan mendapatkan mood Olimpik sebelum acara keirin bermula.

''Bagaimanapun, saya tersilap congak ketika menentang pelumba Rusia, Denis Dmitriev di pusingan kedua, menyebabkan saya terpaksa bersaing dalam perlumbaan repechage," ujarnya.

Biarpun memenangi pusingan itu, Azizulhasni terpaksa bertemu dengan pemegang rekod Olimpik yang juga peserta tuan rumah, Jason Kenny di suku akhir tetapi tewas dalam kedua-dua saringan.

"Saya mungkin tewas, tapi catatan saya semakin baik. Saya sendiri tidak percaya saya boleh mengayuh laju dengan mencatat masa hampir bawah 10 saat ketika bersaing dengan Kenny. Bagi saya, catatan itu bagus sebagai persediaan untuk keirin," katanya.

Menurutnya, dia perlu menyimpan tenaga untuk keirin dan tidak perlu berhabis-habisan dalam perlumbaan penentuan tempat ke-5 hingga 8 itu.

"Saya tidak terlalu mencuba dalam penentuan klasifikasi 5 hingga 8 kerana saya sudah berada dalam kelompok lapan pelumba terbaik dunia, jadi saya perlu memberi tumpuan terhadap perlumbaan esok (hari ini)," katanya.

Menurut Azizulhasni, dia dan jurulatih John Beasley sudah menonton video membabitkan pencabar lain dan sudah merancang setiap perlumbaan.

"Kami sebenarnya sudah bersedia dari awal, cuma perancangan itu perlu diperbaiki lagi ketika berada di sini. Lagipun velodrom ini agak berbeza daripada yang lain. Ia berbentuk bulat berbanding biasa yang lonjong, jadi memerlukan lebih tenaga untuk menamatkan perlumbaan," katanya.



 - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...