Pages

Monday, August 6, 2012

Olimpik: Harapan Emas Kini Dibahu Mohd Azizulhasni Pula


LONDON, 6 Ogos (Bernama) -- Selepas sandaran utama emas negara, Datuk Lee Chong Wei sekadar meraih perak dari temasya Olimpik 2012, sasaran emas kini tertumpu kepada pelumba berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang yang akan memulakan acara keirin, di Velodrome London, esok.

Pelumba berusia 24 tahun dari Terengganu yang digelar 'Pocketrocketman' itu semalam terlepas pingat selepas menduduki tangga ke lapan keseluruhan daripada acara pecut individu.

Chong Wei kalah di final badminton perseorangan lelaki kepada musuh ketatnya, Lin Dan dari China dengan mata 21-15, 10-21, 19-21 untuk meraih pingat perak, sekali gus menyamai pencapaiannya di edisi Beijing 2008.

Mohd Azizulhasni yang menyedari beban mendapatkan emas tersebut kini dipikulnya berkata dia menghormati harapan 28 juta rakyat Malaysia itu.

"Saya sendiri mahukan pingat emas tersebut tetapi misi lebih penting untuk mendapatkannya bagi rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Sejak mula menyertai temasya Olimpik di Melbourne pada 1956, Malaysia belum lagi memperoleh pingat emas.

Hanya pasangan beregu Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock dan perseorangan lelaki, Chong Wei (Beijing 2008 dan London 2012) yang berada di final acara masing-masing hampir meraih pingat tersebut tetapi cuma beroleh perak.

Razif dan Jalani Sidek menyumbangkan pingat pertama Malaysia dari Olimpik, satu gangsa daripada temasya di Barcelona pada 1992 manakala adik mereka Rashid juga menyumbangkan gangsa dalam perseorangan lelaki dari Atlanta 1996.

Mohd Azizulhasni yang diberi rehat sehari tidak akan berkayuh hari ini tetapi akan berbincang dengan jurulatihnya dari Australia, John Beasley untuk mencongak strategi dalam acara keirin esok.

"Kami telah melakar strategi awal terutama bila berdepan pelumba ternama dunia seperti pelumba tuan rumah, Chris Hoy yang juga pemenang tiga pingat emas dari edisi Beijing," katanya.

Di Beijing empat tahun lepas, Mohd Azizulhasni melepasi peringkat suku akhir dan mendapat tempat ke tujuh dalam penentuan bagi tangga kelima hingga lapan.

Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Naim Mohamad mengakui sasaran sebenar pingat daripada acara berbasikal trek ialah menerusi acara keirin.

Walaupun Mohd Azizulhasni diletakkan sebagai pelumba utama acara pecut individu dan keirin, sasaran sebenar pingat adalah dari acara keirin, katanya.

Naim berkata selepas Mohd Azizulhasni terlepas peluang meraih pingat dalam acara pecut semalam, Beasley menasihatkan pelumba itu tidak mengerah sepenuh tenaga dalam penentuan tempat ke lima hingga ke lapan.

"Beasley mahukan Mohd Azizulhasni menyimpan tenaga untuk acara keirin. Potensinya untuk meraih pingat amat besar dalam acara itu," katanya.

Kesungguhan dan prestasi semasa Mohd Azizulhasni, katanya, dapat dibuktikan dengan catatannya sewaktu sesi kelayakan acara pecut, dua hari lepas.

Pelumba itu memperbaharui rekod bagi acara pecut di Malaysia dengan catatan 10.030 saat berbanding rekod lama yang dicatatnya 10.1 di edisi Beijing, empat tahun lepas.



Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...