TIADA kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika Lin Dan mengutip mata terakhirnya untuk memenangi pingat emas Olimpik di Wembley, Ahad lalu. Kalau ia sebuah wayang gambar, saya harap bumi akan terbelah lalu menelan saya.
Saya telah mengecewakan negara, peminat, keluarga dan paling penting diri saya sendiri kerana saya benar-benar mahukan pingat emas. Saya benar-benar minta maaf kerana gagal menyumbangkan pingat. Sekiranya ada kebaikan yang telah saya lakukan, maka ia adalah kerana saya telah menyatukan rakyat Malaysia atas satu sebab. Sukan dan perpaduan adalah pemenang sebenar.
Berulang kali saya diajukan dengan persoalan, apakah yang bermain difikiran saya ketika kedudukan terikat 19-19. Apakah saya kesal kerana membiarkan bulu tangkis jatuh lalu menghadiahkan Lin Dan mata ke-19 dan menyamakan kedudukan. Apakah perancangan saya ketika itu ?
Sejujurnya, saya cuma memberi tumpuan kepada cabaran yang datang pada ketika itu. Saya tidak punya kekesalan kerana hilang mata tersebut, biarpun orang lain mungkin kata saya tersilap melakukan agakan bulu tangkis. Apa pun, ia sudah keluar dan saya sangat terkejut apabila ia jatuh di atas garisan.
Situasi itu sebenarnya tidak begitu menganggu tumpuan saya kerana saya tahu saya masih boleh mengalahkannya tetapi takdir begitu kejam terhadap saya, tuah pula berpihak kepadanya, malah jaring juga telah menyelamatkan dia.
Sebaik mata terakhir berjaya dimenangi, saya terus rebah. Saya tahu saya telah menghampakan 28 juta rakyat Malaysia yang mengharapkan saya untuk menang. Dan, ketika lagu kebangsaan China berkumandang, air mata saya terus mengalir kerana saya memasang impian lagu Negaraku yang akan berkumandang di gelanggang termasyhur, Arena Wembley.
Kira-kira sembilan minggu lalu, ramai yang meragui bahawa saya mampu melangkah semula ke gelanggang tetapi hari ini saya boleh katakan, Chong Wei masih hidup dan boleh menendang. Selepas ini saya akan berehat seminggu dan kemudian kembali ke berlatih, membuat persiapan untuk Liga China. Kejohanan saya selepas ini adalah Terbuka Jepun, September nanti.
Ya, saya telah kalah tetapi saya telah memberikan permainan terbaik saya. Biarpun kecewa dengan kekalahan ini tetap dari sudut lain, saya gembira kerana kebanyakan rakyat Malaysia faham bahawa saya sudah memberi segala yang terbaik dan mungkin, kalau saya dilahirkan di era lain keadaan akan jadi berbeza.
Hanya ada satu Lin Dan dan pada masa yang sama, hanya ada satu Chong Wei.
Lin Dan bermain dengan amat baik, dia telah meningkatkan permainannya dan telah memusnahkan saya menerusi stroke hebat di set kedua. Bagi saya, saya berjaya mengimbangi kelebihan yang ada padanya ketika mendahului 18-16 di set ketiga dan ia telah menaikkan keyakinan saya, malangnya ia tidak menjadi seperti yang diharapkan.
China menyapu bersih semua pingat emas di sini seperti yang mereka lakukan pada dua Kejohanan Dunia terakhir. Saya tidak melihat penguasaan mereka akan berakhir dalam masa terdekat kerana mereka telah melabur dengan begitu banyak dalam pembangunan, sesuatu yang perlu dilakukan oleh Malaysia, Indonesia, Korea dan Denmark jika mahu mencabar keunggulan China.
Olimpik mungkin penampilan besar terakhir buat Peter Gade dan Taufik Hidayat tetapi bukan untuk Chong Wei kerana saya masih cuba merangkul Kejuaraan Dunia 2013, selain Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2014. Dan, Lin Dan juga boleh menjangkakan tiada laluan yang mudah buatnya dalam tempoh dua tahun ini. Semalam, selepas tamat permainan saya melawat bilik media, saya bertemu wartawan Malaysia dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Akhir sekali, terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia untuk kepercayaan yang mereka berikan kepada saya selama ini. Sekali lagi, maafkan saya atas kegagalan ini dan saya berjanji akan cuba yang terbaik untuk membawa penghormatan buat negara.
- UTUSAN
0 comments:
Post a Comment