LONDON, 1 Ogos (Bernama) -- Harapan Malaysia meraih pingat pertama Sukan Olimpik 2012 berkecai akibat kesilapan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, bermula pada terjunan ketiga menyebabkan pasangan negara itu menduduki tempat ketujuh dalam acara 10 meter platform seirama wanita akhir Selasa.
Dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik London pada Selasa, Pandelela dan Mun Yee mengutip keseluruhan 308.52 mata untuk menamatkan aksi mereka di tempat ketujuh daripada lapan peserta yang mengambil bahagian dalam saingan itu.
Pada disiplin pertama melibatkan terjunan 'reverse', pasangan Malaysia itu mengumpul 52.80 mata, 'back' (54.00), 'forward 3 1/2 sommersault' (70.20), 'inward 3 1/2 sommersault' (60.48) dan 'back 2 1/2 sommersault' (71.04).
Pasangan penerjun negara itu berjaya menempatkan diri di kedudukan ketiga keseluruhan selepas disiplin kedua, namun hilang tumpuan pada disiplin ketiga menyebabkan mereka jatuh ke tempat kelima dan akhirnya ketujuh selepas terjunan kelima dan terakhir.
Pasangan penerjun China, Chen Roulin-Wang Hao memenangi emas dalam acara itu selepas mengutip 368.40 mata diikuti Alejandra Crozco Loza-Paola Espinosa Sanchez dari Mexico yang meraih perak (343.32) manakala gangsa milik Roseline Filion-Meaghan Benfeito dari Canada dengan 337.62 mata.
Ketika ditemui pemberita selepas acara itu, Pandelela mengakui bahawa prestasi mereka pada hari ini bukannya yang terbaik disebabkan berdepan dengan banyak tekanan.
"Kami mula melakukan kesilapan pada disiplin ketiga dan seterusnya disiplin keempat dan kelima. Selepas disiplin ketiga, kami cuba melakukan yang terbaik namun sudah terlalu lewat untuk memperbaiki kedudukan kami," katanya.
Mun Yee juga mengakui bahawa selepas berjaya menempatkan diri pada kedudukan ketiga keseluruhan pada disiplin kedua, mereka berdepan tekanan hebat untuk mendapatkan kedudukan yang lebih baik bagi memastikan pingat dalam genggaman.
"Ia bukan kerana kami tidak seirama dalam terjunan. Tetapi disebabkan tekanan dan harapan terlalu tinggi yang memakan diri kami," katanya.
Jurulatih negara dari China, Yang Zhuliang berkata prestasi yang ditunjukkan pasangan penerjun negara itu hari ini bukannya yang terbaik oleh mereka.
"Terlalu banyak tekanan terutamanya kepada Pandelela. Mungkin harapan terlalu tinggi kepadanya kerana beliau akan menyertai acara 10m platform seirama individu pada Jumaat ini," katanya.
Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment