Pages

Monday, July 30, 2012

Sedia julang Rocketpocketman

Azizulhasni Awang 
 
LONDON - Saya sudah bersedia untuk mengembalikan sentuhan The Rocketpocketman, ujar pelumba sensasi lumba basikal trek negara Mohd. Azizulhasni Awang ketika diajukan soalan sejauh mana persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik London 2012, semalam.

Selepas sekian lama menyepikan diri ekoran daripada beberapa insiden kemalangan sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi daripada peminat, Azizulhasni sebenarnya ada alasan tersendiri.
''Saya dirancang untuk mencapai kemuncak (peak) pada Sukan Olimpik 2012. Jurulatih John Beasley meminta saya jangan terlalu cepat untuk sampai kemuncak kerana kejohanan besar yang menanti adalah Olimpik," katanya yang mengakui keyakinannya semakin memuncak walaupun dihambat kecederaan terbaru apabila terjatuh dalam satu kejohanan di Koln, Jerman antara perlumbaan yang disertainya untuk persiapan ke Olimpik.

Menurut Azizulhasni, percaturan yang dibuat Beasley kena pada waktunya kerana dia sendiri dapat merasai tahap persembahannya mengikut seperti yang dirancang.

Kemalangan terbaru yang dialaminya mencetuskan kebimbangan kerana ia hampir mengulangi peristiwa hitam Februari 2011 apabila serpihan trek sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kiri Azizulhasni ketika menyertai Siri Piala Dunia Klasik di Manchester.

''Saya jatuh sikit sahaja. Alhamdulillah tidak serius. Saya tidak ada apa-apa," jelasnya.
Jelas Azizulhasni lagi, untuk Olimpik kali ini, dia akan memikul dua tugas besar berlumba dalam acara keirin dan pecut seperti diputuskan walaupun mengikut perancangan awal Josiah Ng diberi peluang berlumba acara keirin.

''Mungkin nasib saya lebih baik apabila terpilih untuk menyertai dua acara ini. Saya juga berterima kasih kepada Josiah yang memberikan sokongan dan mahu membantu saya merealisasikan harapan untuk memburu pingat emas buat negara. Dia bersikap profesional walaupun satu ketika kami terpaksa bersaing untuk mendapatkan tempat. Saya tidak ada masalah untuk memikul dua tugas besar ini kerana saya sudah bersedia sepenuhnya," katanya.

Namun Azizulhasni tidak mahu memandang rendah keupayaan lawannya yang lain terutama penyandang emas Beijing 2008, Chris Hoy dan beberapa lagi pelumba dari Jerman, Perancis begitu juga Jepun yang semakin meningkat.

Ditanya apakah dia akan meneruskan gaya kayuhan yang sering menjadikan dia menjadi mangsa amaran komisar, Azizulhasni berkata, cara kayuhannya tidak menyalahi peraturan, malah Hoy juga mengikut caranya yang gemar menyelit apabila mendapat peluang ketika berlumba pada Piala Dunia di Melbourne sebelum ini.

''Hanya satu pinta saya, doakan kejayaan saya kerana harapan saya dari awal-awal lagi mahu bawa pulang pingat emas bukan untuk diri sendiri tetapi untuk rakyat Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan peminat.



- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...