Pages

Monday, July 30, 2012

Giliran Haziq pula tersingkir awal

LONDON - Pemanah muda negara Haziq Kamaruddin menjadi mangsa terbaru atlet negara yang tersingkir awal daripada saingan Sukan Olimpik London selepas gagal melepasi pusingan pertama acara memanah individu, semalam. 

Dia yang menjadi atlet pertama daripada tiga pemanah yang beraksi di Lord's Cricket Ground tewas tipis kepada pencabar dari Kazakhstan, Denis Gankin 6-4 berdasarkan kiraan format baru.

Mengikut format yang baru diperkenalkan itu, atlet yang menang satu set diberikan dua mata dan seri, satu yang menyaksikan Haziq tumpas dengan 29-27, 27-28, 27-28, 27-25, 25-26.

Dia yang bertekad memperbaiki persembahannya selepas mencatat mata paling rendah di kalangan trio negara ketika bersaing dalam peringkat kumpulan menyalahkan catatan tujuh mata ketika melakukan panahan pertama set terakhir.

"Jika saya dapat mencatat sembilan mata panahan pertama itu, mungkin saya menang," katanya yang mencatat sembilan mata bagi dua panahan terakhirnya dalam set berkenaan.

Menurut Haziq, dia yakin menang dalam set terakhir itu, tapi catatan tujuh mata menjejaskan kutipan keseluruhan mata yang menyaksikan Gankin mencatat 9,8, 9 untuk menang.

"Sungguh terkilan kerana saya meletakkan sasaran untuk beraksi dengan lebih baik selepas aksi berpasukan, tapi nak buat apa, sudah tiada rezeki," katanya.

Bagaimanapun, Haziq berharap akan terus berada dalam perancangan Persatuan Kebangsaan Memanah Malaysia (NAAM) untuk masa depan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Tan Sri Halil Abd. Mutalif berkata, kesilapan berlaku apabila Haziq terlalu mencuba untuk menang.

"Sepatutnya dia mengekalkan tempo dan fokusnya pada set terakhir itu, tapi saya tidak salahkan Haziq, mungkin dia kurang pengalaman kerana pertama kali beraksi di Olimpik," katanya.
Hari ini, acara individu akan akan diteruskan dengan pertembungan sesama sendiri Cheng Chu Sian menentang Khairul Anuar Mohamad.

Apa yang pasti, Malaysia akan ada seorang wakil untuk ke pusingan kedua selepas itu.




 - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...