Pages

Tuesday, July 31, 2012

Khairul Anuar wakil tunggal negara

 
Khairul Anuar Mohamad melambai ke arah penonton selepas menewaskan peserta China, Xing Yu dalam acara memanah individu lelaki di Lord's Cricket Ground, London semalam. 
 
LONDON - Perjalanan ke penghujung saingan masih jauh tetapi bagi pemanah negara Khairul Anuar Mohamad ada sedikit keyakinan yang semakin menebal dalam dirinya selepas menjadi satu-satunya wakil negara dalam acara itu mara ke pusingan ketiga selepas melepasi dua ranjau Olimpik yang cukup mendebarkan dalam acara recurve individu di lapangan Lord's Cricket Ground di sini, semalam.

Selepas menewaskan rakan senegara, Cheng Chu Sian dengan kiraan set point 6-4 meskipun keadaan genting pada dua panahan terakhir. Chu Sian mencatat 26 untuk tiga panahan pertama dan seterusnya 28, 27, 27, 29 untuk mengumpul 137 mata manakala Khairul bermula agak baik untuk mencatat 29, 27, 25, 29, 30 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kedua berbekalkan 140 mata terkumpul.
Khairul yang masih segar dengan kemenangan awal meneruskan rentak cemerlang untuk menewaskan pemanah China yang menduduki ranking ke-13 dunia, Xiang Yu 6-5 menerusi set penentuan selepas kedua-duanya terikat 4-4 selepas menyempurnakan lima pusingan wajib.

Kedua-duanya berkongsi sembilan mata tetapi Khairul diisytiharkan pemenang selepas anak panahnya lebih dekat dengan garisan lubang 10.

Khairul yang ditemui selepas itu berkata, dia sebenarnya berasa gugup ketika mula menentang Chu Sian sebab masing-masing mahu mencari kemenangan untuk mara ke peringkat seterusnya.
''Saya hormat pada Chu Sian tetapi pada masa yang sama saya tidak boleh memberikan dia kemenangan mudah. Saya bermain seperti biasa dan tidak mahu terlalu mahukan anak panah tepat ke dalam gelung 10. Saya hanya mahu bertahan dan mendapatkan markah purata.

''Selepas berjaya menewaskan Chu Sian, saya mendapat keyakinan untuk menewaskan pemain China walaupun menyedari di kelilingi ramai penyokong lawan. Selepas ini saya mahu melakukan yang terbaik dan kekal fokus," katanya.

Khairul selepas ini akan bertarung dengan pemanah tuan rumah berpengalaman dalam dua Sukan Olimpik, Larry Godfrey yang menduduki No. 4 dalam saingan kedudukan ranking, Jumaat lalu.

Sementara itu, jurulatih memanah negara, Lee Jae Hyung berkata, beliau melihat Chu Sian dan Khairul memiliki kemampuan yang sama tetapi nasib Khairul lebih baik berbanding rakan sepasukannya yang agak gementar semasa ketika bertarung pada pusingan pertama.

''Khairul nampak OK tapi Chu Sian ada menggigil, namun saya lihat kemampuan mereka hampir sama," katanya. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...