Pages

Tuesday, July 31, 2012

ISN Beri Perhatian Alasan Naif Atlet Bila Tewas


LONDON, 31 Julai (Bernama) -- Institut Sukan Negara (ISN) akan mengkaji semua maklum balas daripada atlet Malaysia yang beraksi di temasya Olimpik di sini mengenai masalah kekurangan ketahanan mental.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz mengakui alasan yang diberikan oleh atlet apabila tewas dalam acara masing-masing seperti gugup dan darah gemuruh merupakan sindrom kurangnya ketahanan mental.

"Sebagai atlet profesional yang bertanding di peringkat sukan tertinggi dunia, alasan tersebut merupakan alasan yang naif.

"Walaupun mungkin pertama kali di Olimpik tetapi sebelum ke sini (London) mereka banyak menyertai kejohanan antarabangsa di luar negara dan bertemu lawan yang sama," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai alasan yang sering diberikan oleh atlet Malaysia yang sebelum ini tewas dalam acara masing-masing, dengan alasan gugup dengan sorakan penonton, gemuruh dan kurang ketahanan mental terutama bila bersaing dengan lawan yang lebih tinggi ranking daripada mereka.

Dr Ramlan berkata alasan seperti gugup dan gemuruh dengan gangguan persekitaran juga sebenarnya tidak boleh diterima kerana ISN dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) banyak kali mengadakan ujian simulasi dengan atlet-atlet negara sebelum mereka ke temasya terbesar dunia ini.

"Kakitangan ISN dan MSN menjalankan ujian simulasi di Bukit Jalil dengan pelbagai jenis gangguan ketika atlet beraksi bagi memberi gambaran apa yang bakal mereka hadapi di sini," katanya.

Beliau berkata segala alasan yang diberikan oleh atlet di temasya ini terutamanya yang melibatkan kepakaran sukan ISN akan diberi perhatian dan diatasi untuk kebaikan pada kejohanan akan datang.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...