Pages

Monday, August 6, 2012

OLIMPIK: Saya Minta Maaf Kepada Rakyat Malaysia - Chong Wei


LONDON, 5 Ogos (Bernama) -- "Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana masih gagal menghadiahkan pingat emas buat kali kedua," kata pemain perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei.

Begitulah reaksi pemain nombor dua dunia itu ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012 apabila tumpas 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China dalam masa 79 minit.

Chong Wei berkata tiada siapa tahu penderitaan dan pengorbanannya beraksi di Arena Wembley terutama selepas pulih daripada kecederaan buku lali kanan yang dialaminya semasa Piala Thomas pada Mei lepas.

"Saya terpaksa berehat hampir dua bulan selepas kecederaan itu sedangkan Sukan Olimpik semakin hampir. Tekanan bagi mendapatkan emas semakin kuat tetapi kecederaan menghalang saya untuk berlatih," katanya.

Beliau berkata dia hanya mempunyai tempoh dua minggu berlatih sepenuhnya ketika menjalani latihan fasa akhir di University of Bath, dekat sini sebelum beraksi di Arena Wembley.

"Di University of Bath, baru saya dapat berjoging, melakukan latihan di gimnasium dan latihan berat lain.

"Prestasi ketika itu dapat diterjemahkan bila saya terpaksa bermain di rubber-set ketika menentang pemain tidak ternama, Ville Lang dari Finland dalam perlawanan peringkat Kumpulan A," katanya.

Pada perlawanan itu, Chong Wei menang 21-8, 14-21, 21-11.

Mengenai perlawanan menentang Lin Dan hari ini, Chong Wei mengakui pemain dari Tembok Besar China itu berada dalam kelasnya tersendiri dan masih sukar digugat.

"Kehadiran Lin Dan memaksa saya berusaha lebih kuat untuk menewaskannya. Saya rasa Lin Dan juga menghargai kehadiran saya yang selalu membayanginya," kata Chong Wei.

Beliau berkata Sukan Komanwel di Glassgow, Scotland pada 2014 mungkin menjadi temasya terakhirnya.

"Umur saya sudah 30 tahun. Olimpik di Brazil empat tahun lagi dan usia saya sudah tua," katanya secara berseloroh.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menyifatkan pencapaian Chong Wei seperti 'hampir mencapai puncak Everest'.

"Dia bermain amat baik dan telah mengeluarkan segala kebolehan dan pengalamannya namun Lin Dan pemain yang lebih baik," katanya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata kekalahan Chong Wei amat menyedihkan tetapi tidak menganggapnya sebagai satu kegagalan.

"Chong Wei telah berikan yang terbaik berbanding ketika pertemuan kedua-dua pemain itu di Beijing. Dia cuma tidak bernasib baik," katanya.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...