Pages

Tuesday, March 27, 2012

Suryani nekad beraksi di Olimpik


SELEPAS bersusah payah melayakkan diri, penembak negara, Nur Suryani Mohamed Taibi tidak mahu terlepas peluang beraksi di Sukan Olimpik 2012 London.

Justeru Nur Suryani menafikan ura-ura tidak akan ke kota London kerana mengandung anak sulung.

“Siapa yang tidak mahu beraksi di Sukan Olimpik. Tambahan pula selepas berusaha gigih untuk mendapatkan tempat, takkan hendak lepaskan begitu saja.
“Saya tetap akan pergi dan sedang membuat persiapan,” kata atlet itu ketika ditemui selepas menerima skim insentif Sukan Sea 2011 daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, kelmarin.

Nur Suryani yang menyumbang dua pingat emas pada temasya dwi tahunan di Indonesia tahun lalu itu meraih RM6,000.

Malah penembak itu menganggap perbuatan mendedahkan dirinya sedang mengandung dan tidak akan beraksi di London itu sebagai tindakan ‘menikam dari belakang’ yang dilakukan rakan baiknya sendiri.

Tanpa menamakan siapa yang dimaksudkan itu, Nur Suryani mengaku tidak menyangka pihak terbabit sanggup mendedahkan kepada akhbar mengenai keadaannya serta khabar yang dia tidak akan beraksi di Olimpik.

“Saya anggap berita itu tidak benar. Hanya takdir yang mampu menentukan segala-galanya. “Setakat ini saya sihat dan bersedia untuk bertanding. Malah persiapan kini berjalan lancar,” katanya.

Nur Surayani berkata, dia kini membuat persiapan untuk menyertai tiga kejohanan pemanas badan iaitu Piala Dunia London dari 17 hingga 29 April ini, diikuti di Itali, Mei dan akhir sekali di Jerman, penghujung Mei sebelum menyertai temasya terbesar empat tahun sekali itu.



HARIAN METRO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...