Pages

Wednesday, March 28, 2012

Pandelela Janji Persembahan Terbaik Pada Olimpik London

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Penerjun elit negara Pandelela Rinong yakin kecederaan belakangnya akan pulih sebelum Sukan Olimpik London, dan bertekad memberi persembahan terbaik bagi meraih pingat untuk negara.

Gadis berketurunan Bidayuh berusia 19 tahun itu, yang mengalami kecederaan belakang ketika menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia di Beijing baru-baru ini, berkata beliau turut mendapatkan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Ini kali kedua Pandelela mengambil bahagian pada temasya sukan terbesar dunia itu, dan berjaya melayakkan diri dalam tiga acara iaitu 3 meter papan anjal seirama bersama Cheong Jun Hoong, 10 meter platform individu dan seirama bersama Leong Mun Yee.

Kali pertama pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu beraksi pada temasya sukan tersebut ialah di Beijing 2008.

"Jurulatih (Yang Zhuliang) mencadangkan saya menyertai ketiga-tiga acara tersebut memandangkan tiada atlet yang boleh menggantikan tempat saya, jadi saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan yang terbaik pada kesemua acara itu," kata atlet dari Sarawak itu kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara syarikat telekomunikasi terbesar negara Maxis Berhad dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk penajaan komunikasi kontinjen negara ke London di Wisma MOM Rabu.



BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...