Pages

Thursday, July 26, 2012

Pemanah negara sedia cipta kejutan


JAE-HYUNG (kanan) berbincang sesuatu dengan Chu Sian ketika sesi latihan di Lor's Cricket Ground, London semalam.


LONDON - Skuad memanah negara sudah bersedia untuk mencipta kejutan pada Sukan Olimpik 2012 apabila acara tersebut bermula di Lor's Cricket Ground hari ini.

"Semua atlet sudah bersedia dan mereka tidak menunjukkan sebarang perasaan gementar. Tiada tekanan, malah mereka semakin menunjukkan keyakinan yang tinggi," kata jurulatih, Lee Jae-hyung ketika ditemui selepas selesai skuad negara menjalani latihan semalam.

Menurut Jae-hyung, barisan pemanah negara berada dalam keadaan bersedia meskipun bakal bersaing dengan beberapa pemanah terbaik dunia.

Acara yang bakal dipertandingankan pada hari ini ialah recurve lelaki individu dan berpasukan serta recurve individu wanita bagi menentukan ranking untuk membolehkan mereka meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya.

"Tiada yang mustahil jika atlet kita dapat mengekalkan konsistensi seperti mana yang telah mereka buktikan dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sebelum ini. Mereka juga memiliki sasaran tersendiri," kata Jae-hyung.

Skuad memanah negara kini berada di ranking ke-10 dunia dan mereka dilihat antara pencabar yang cukup kuat pada temasya kali ini.

"Saya meletakkan harapan kepada skuad lelaki yang dibarisi (Cheng) Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar (Mohamad). Bagi Syafikah, penampilannya pada temasya kali ini tidak lebih sebagai menimba pengalaman.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepadanya kerana ini merupakan penampilannya yang pertama pada Sukan Olimpik," katanya.
Ditanya sekiranya keadaan cuaca hari ini berangin dan boleh menjejaskan fokus pemanah, Jae-hyung menjelaskan: "Jika cuaca berangin, bukan setakat atlet kita yang terjejas, semua pemanah negara lain turut terjejas."

Menurutnya, tiada negara yang perlu digeruni pada temasya kali ini kerana sebahagian besarnya dilihat menurunkan barisan pemanah muda.
"Korea Selatan selaku jaguh dalam acara ini juga membariskan beberapa pemanah muda, jadi atlet kita tidak perlu rasa tertekan," tambahnya.

Khairul, Haziq dan Nurul Syafikah Hashim merupakan pemanah muda yang baru membuat penampilan pada Sukan Olimpik manakala Chu Sian sudah menikmati bahang Olimpik ketika Beijing menjadi tuan rumah pada 2008.

Meskipun baru, Khairul dan Haziq telah mempamerkan aksi yang meyakinkan dan atas alasan itu Jae-hyung menganggap peluang mereka untuk melangkah lebih jauh adalah cerah.



- KOSMO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...