Pages

Thursday, July 26, 2012

Menuju puncak kemasyhuran


AZIZULHASNI (kanan) dan Josiah menjadi taruhan terbaik kontinjen Malaysia meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London.


KOSMO!: Terlebih dahulu tahniah kerana KBS banyak memberi sumbangan kepada dunia sukan di Malaysia. Bagaimanapun, kali ini kami mahu menyelami peranan KBS terhadap sukan berbasikal. Basikal akan mempunyai empat disiplin acara di London nanti iaitu pecut (200 meter) dan keirin lelaki, trek wanita dan acara lepas beramai-ramai lelaki. Secara ringkas, bagaimana KBS menterjemahkan senario itu?

MOHID: Ini satu keadaan yang sangat menggembirakan kami di KBS. Dulu kita cuma ada seorang saja yang layak ke Olimpik tetapi sekarang kontinjen kita semakin besar. Kali ini, kita ada lima atau enam pelumba yang akan layak secara merit ke Sukan Olimpik. Ini satu petanda yang cukup baik.
Acara trek sudah bertaraf dunia. Malaysia memiliki tiga pelumba iaitu Azizulhasni, Josiah dan Fatehah yang dianggap antara permata terbaik di persada saingan sukan trek peringkat dunia. Di London, skuad lebuh raya Malaysia bersama tiga lagi pasukan terbaik Asia iaitu Jepun, Kazakhstan dan Iran layak secara merit. Semua berjaya kerana penglibatan serius KBS yang banyak membantu pasukan lebuh raya Malaysia. Apakah ini berbaloi kepada KBS?

SEBENARNYA bukan KBS sahaja yang banyak membantu pasukan lebuh raya Malaysia. MSN (Majlis Sukan Negara) juga sebahagian daripada KBS. MSN ambil langkah awal dengan menghantar barisan pelumba trek berlatih di Australia. Mungkin pada waktu itu keutamaan banyak diberikan kepada acara trek tetapi sekarang KBS beri sedikit peluang kepada pasukan lebuh raya untuk berlatih secara sistematik.

Saya nak tengok pasukan lebuh raya kita berjaya di Le Tour de Langkawi (LTdL). Sebenarnya bukan setakat berjaya tetapi saya mahu mereka naik podium. Sekarang mereka bukan saja berjaya naik podium tetapi dah mampu jadi juara (perlumbaan peringkat).

Pada LTdL 2012, pelumba kita, Mohd. Harrif (Salleh) menang di Kemaman. Tahun sebelumnya, Anuar (Manan) jadi juara di Negeri Sembilan.

Saya tengok pelumba kita sudah ada kekuatan untuk sama-sama berada di garisan hadapan. Kalau kita lihat senario ini, secara keseluruhan saya memang berpuas hati dengan pencapaian pasukan lebuh raya Malaysia.



Sebagaimana yang kita maklum, Josiah menang pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel 2010. Azizulhasni pula menang pingat emas acara keirin pada Sukan Asia 2010. Seterusnya kita meraih tujuh emas pada Sukan SEA 2011. Jadi, bagaimanakah KBS mahu meningkatkan lagi pencapaian pasukan kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi?

ADA tiga atau empat perkara yang perlu kita beri perhatian serius. Pertama latihan, kedua disiplin dan ketiga pendedahan. Kalau merujuk kepada latihan, saya mahu mereka lihat bagaimana juara dunia itu berlatih. Berapa lama mereka berlatih? Kalau juara dunia berlatih lima jam, kita harus berlatih lima atau enam jam. Kita harus berlatih lebih lama untuk sampai ke tahap dunia dan tewaskan mereka (merujuk kepada juara dunia). Mereka berlatih lima jam sebab mereka sudah jadi juara dunia. Inilah yang saya maksudkan kepada disiplin. Begitu juga dengan pendedahan. Kalau nak jadi juara dunia, pelumba Malaysia tak boleh hanya bertanding di peringkat kampung saja. Nanti kita akan hanya jadi jaguh kampung. Kalau kita nak menang perlumbaan di Australia, kita berlatih dalam satu suasana yang sama seperti di Australia.

Kita tak boleh menang di Australia kalau kita berlatih di Malaysia. Ini kerana faktor cuaca yang tak sama. Pasukan renang Australia berjaya di Sukan Olimpik Beijing (2008) adalah disebabkan mereka berlatih di Malaysia. Mereka tahu cuaca di Malaysia hampir sama dengan cuaca di Beijing. Saya selalu tegaskan kalau kita nak jadi juara dunia, kita mesti lakukan perkara yang luar biasa. Kita mesti mula berlumba di Perancis, Australia atau Eropah. Kita tak boleh hanya berlumba pada Jelajah Taiwan atau Jelajah Korea.

Menyentuh soal disiplin pula, perkara ini sangat penting untuk jadi seorang juara. Makan tak boleh seperti orang biasa, tidur tak boleh macam orang biasa. Untuk jadi seorang juara dunia, pelumba kita mesti lakukan perkara yang berbeza dengan orang lain. Kalau mereka lihat, orang biasa tidur pukul 12 tengah malam, mereka pun nak tidur pukul 12 tengah malam, kalau mereka lihat orang makan di kedai mamak, mereka pun nak makan di kedai mamak.

Kalau mereka buat perkara yang sama seperti orang biasa, mereka tak mungkin jadi juara dunia. Kalau mereka nak jadi juara, mereka mesti lakukan perkara yang luar biasa. Kalau nak jadi 10 pelumba terbaik di dunia, mereka mesti lakukan perkara yang luar biasa daripada orang lain. Jika mereka sekadar nak berkayuh di kampung, mereka boleh minum teh tarik dan roti canai. Pengorbanan itu sangat penting kalau mahu berjaya. Mereka tak boleh bersuka ria seperti orang biasa.

Kalau mereka dah sanggup berkorban, barulah kita boleh bercerita soal mahu jadi juara dunia.
Apa yang diperhatikan, ada perbezaan tentang menu dan cara pemakanan pelumba trek dan pelumba lebuh raya. Pelumba trek yang menjalani latihan di Melbourne tidak lagi berdepan masalah kalau mereka berlumba di mana-mana pelosok dunia. Bagaimanapun, pasukan lebuh raya baik lelaki mahupun wanita sering berdepan masalah. Jadi, soal pemakanan banyak memberikan masalah kepada pasukan lebuh raya Malaysia setiap kali bertanding di luar negara.

MUNGKIN perkara itu akan diberikan keutamaan selepas ini. Perkara itu sebenarnya pernah diutarakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu beliau belum menjadi Perdana Menteri lagi. Beliau pernah membangkitkan satu perkara berkaitan dedicated team. Cuba kita lihat pasukan Formula Satu (F1). Yang berlumba cuma dua orang sahaja tetapi kakitangan sesebuah pasukan F1 boleh memenuhkan pesawat Boeing 747. Mereka ada pakar pemakanan dan segala-galanya. Seharusnya mereka (pasukan berbasikal) wajar membawa seorang pakar pemakanan. Bagaimanapun, mereka tak boleh masak roti atau teh tarik. Mereka wajib masak makanan yang diperlukan oleh seorang pelumba untuk sentiasa bertenaga dan akhirnya menang. Ramai pelumba kita berasal dari Terengganu. Ini bermakna mereka tak boleh makan makanan berminyak seperti keropok lekor atau nasi dagang.

Dalam hal ini, saya mahu persatuan (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia - PKBM) berkorban. Mereka perlu pilih pegawai khususnya pengurus yang boleh makan sama seperti apa yang dimakan oleh pelumba. Janganlah pula mereka makan nasi goreng di depan pelumba. Ini mungkin boleh menyebabkan pelumba teringin nak makan nasi goreng. Sedangkan kita tahu nasi goreng itu tak bagus untuk diet pemakanan seseorang pelumba. Misalnya, kalau kita nak ajar anak kecil berpuasa, kakak atau ibu yang tak boleh berpuasa tak boleh makan di depan anak yang baru belajar berpuasa. Saya percaya kalau ini berlaku, ada kemungkinan anak kecil itu akan bertanya kenapa kakak atau ibu mereka boleh makan. Sedangkan mereka (anak kecil) disuruh berpuasa.

Jadi, saya mahu persatuan pandang serius perkara. Pilih pengurus pasukan atau pegawai yang sanggup sama-sama makan makanan yang dimakan oleh pelumba. Kalau pengurus minta pelumba tidur awal, mereka pun kena tidur awal. Kalau pelumba dapat tahu pengurus masih minum teh pada pukul 4 pagi, ada kemungkinan mereka akan rasa lemah semangat. Kalau tak sanggup, jangan jadi pengurus pasukan atau pegawai dalam sesuatu perlumbaan jelajah di luar negara.



Kita semua tahu bahawa John Beasley adalah seorang ketua jurulatih yang hebat. Pada masa yang sama, kita juga memiliki beberapa jurulatih lebuh raya anak tempatan yang juga bagus termasuk Syed Mohd. Hussaini Syed Mazlan. beliau telah dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Malaysia pada anugerah Majlis Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) tahun ini. Jadi, bagaimana KBS boleh menggembleng kepakaran jurulatih asing dan tempatan untuk memastikan sukan berbasikal menjadi lebih cemerlang?

SEMEMANGNYA kita tak boleh nafikan bahawa John Beasley telah memainkan peranan yang sangat penting dalam menghasilkan beberapa jaguh trek di peringkat dunia. Beliau telah melahirkan jaguh dunia seperti Josiah dan Azizulhasni menerusi sistem latihan yang tersusun rapi. Sudah tentu perkara ini bukannya dihasilkan dalam masa sekelip mata sahaja. Pada masa yang sama, kita juga sangat beruntung kerana mempunyai Syed Hussaini. Beliau adalah seorang jurulatih yang sedang meningkat naik. Namun beliau dan semua jurulatih tempatan harus belajar daripada John Beasley. Mesti ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada John Beasley.

Dalam hal ini, saya mahu PKBM berkorban dan segera lakukan sesuatu. Saya mahu persatuan membuat satu attachment programme iaitu hantar jurulatih tempatan berlatih di Melbourne bersama John Beasley. Saya tak nampak kenapa perkara itu tak boleh dilakukan. Saya percaya kepada pepatah lama iaitu ular menyusur akar tak akan hilang bisanya. Kalau berlatih bersama John Beasley tak bermakna maruah atau imej mereka jatuh. Saya percaya John Beasley juga bermula daripada bawah iaitu belajar daripada seseorang. John Beasley juga insan biasa. Maksudnya dia mesti bermula daripada bawah sehinggalah berjaya mengecapi kejayaan.

Saya percaya John Beasley tak keberatan untuk mengajar jurulatih tempatan. Kita perlu pastikan berlakunya technology transfer. Pada masa yang sama, jurulatih tempatan harus bersedia menerima tunjuk ajar daripada beliau. Saya berpendapat technology transfer adalah satu perkara yang wajib selepas ini. Kita hantar pelumba berlatih di Australia. Sayangnya kita tak hantar jurulatih dalam jumlah yang banyak ke sana. Sepatutnya kita harus hantar jurulatih untuk melihat sendiri bagaimana John Beasley melatih pelumba kita. Kita kena tengok bagaimana John Beasley membelai pelumba (menaikkan semangat).

Benda seperti itu perlu dipelajari secara praktikal. Teori sahaja tak mencukupi. Jurulatih harus perhatikan bahasa yang digunakan oleh John Beasley terhadap pelumba. Mereka juga melihat gaya dan tingkah laku John Beasley termasuk pukul berapa dia bangun dan mula berlatih. Mereka juga perlu perhatikan kaedah latihan yang digunakan di sana (Australia). Seringnya saya terdengar kita mengkritik jurulatih tempatan kononnya tak bagus. Malangnya kita tak beri pendedahan kepada jurulatih berlatih di sana. Misalnya kita boleh hantar dua atau tiga jurulatih tempatan menjalani latihan bersama John Beasley di Australia. Kita tak mahu cuma melahirkan pelumba bertaraf dunia. Sebaliknya saya mahu kita lahirkan juga jurulatih tempatan yang berkualiti.



Sejak Datuk menjadi Ketua Setiausaha KBS, seperkara yang sangat signifikan ialah KBS berjaya melakukan transformasi cemerlang dan technology transfer terhadap LTdL. Difahamkan, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) telah memberi surat kepujian kerana penganjuran yang cemerlang untuk tahun 2012. Apakah KBS sudah berpuas hati dengan penglibatan dalam LTdL?

TIDAK dapat dinafikan pada peringkat awal sangat sukar untuk memastikan technology transfer pada penganjuran LTdL. Pada peringkat awal semua jawatan penting dalam LTdL banyak diberikan kepada 'mat salleh'. Apabila saya mengetuai Jawatankuasa Penganjur LTdL 2007, kita memang berdepan dengan senario bahawa tenaga luar memang masih diperlukan. Bagaimanapun, secara berhati-hati kita berjaya melakukan technology transfer.

Pada peringkat awal dulu, KBS menanggung risiko besar apabila mengambil alih LTdL. Kalau gagal, kami di KBS pasti ditempelak oleh ramai orang. Bagaimanapun, akhirnya kami berjaya memastikan LTdL dianjur dan diuruskan 100 peratus oleh tenaga kepakaran tempatan sehingga berjaya menerima pujian daripada UCI. Sebenarnya, saya perhatikan kita boleh lakukan kalau kita terdesak. Kalau kita lepas di lautan besar, waktu itu kita akan gunakan semua tenaga tangan dan kaki untuk mengapung diri agar tak lemas. Begitu juga dengan LTdL. Alhamdulillah, LTdL sekarang berjaya hasil tenaga kepakaran anak tempatan.


KBS mempunyai satu ikatan hubungan erat dengan PKBM. Sedangkan ada yang mendakwa PKBM hanya membazirkan wang peruntukan yang diberikan oleh KBS. Adakah kritikan itu tepat?

SAYA akui KBS mempunyai hubungan yang erat dengan PKBM. Sebenarnya bukan setakat PKBM, KBS sentiasa menyokong aktiviti mana-mana persatuan lain. Bagaimanapun, kita melihat PKBM telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan besar. Terbaharu, LTdL 2012 dan ACC 2012 (Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012). Setakat ini, KBS masih percaya tampuk kepemimpinan PKBM. Saya percaya mereka boleh lakukan tugas dengan cemerlang. Soal percakaran dalam PKBM adalah satu perkara biasa yang kita sentiasa dengar dalam mana-mana persatuan lain. Bak kata pepatah, sedangkan lidah tergigit, inikan hati manusia.



Memang berlaku pergeseran dalam PKBM tetapi alhamdulillah, semuanya dapat diatasi dengan baik. Mereka mampu adakan banyak kejohanan seperti Grand Prix Kebangsaan. Saya berani katakan bahawa kami telah berjaya menjadi pemangkin terhadap kegiatan sukan berbasikal. Kalau kita lihat jualan basikal meningkat secara drastik. Kedai basikal tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Malah di Pantai Timur khususnya di Terengganu, kegiatan berbasikal berlaku siang dan malam.
PKBM sering dikritik kononnya gagal berfungsi secara efisien, walhal menerima banyak bantuan daripada KBS. Adakah Datuk bersetuju dengan kritikan ini?

KITA harus ambil perkara ini secara positif. PKBM sekarang ibarat seorang wanita yang cantik kerana mengecapi kejayaan demi kejayaan. Wanita cantik akan sentiasa menjadi bahan bualan ramai orang. Begitu juga kalau anda memiliki sebuah kereta antik Volkswagen. Kalau anda hiasi kereta Volkswagen dengan baik, sudah tentu ramai yang terpikat. Begitu juga dengan PKBM. Apabila mereka (para pengkritik) itu nampak berlaku banyak perkembangan dalam dunia berbasikal misalnya berjaya pada Kejohanan Dunia dan layak secara merit ke Sukan Olimpik, sudah tentu ramai yang memerhati dan memberikan perhatian kepada PKBM. Mungkin perhatian itu dalam bentuk kritikan. Kita anggap sahaja perkara ini sebagai satu kegiatan yang positif terhadap pembangunan berbasikal Malaysia.
Saya percaya mereka kritik sukan berbasikal dan PKBM kerana ada sebab yang tersembunyi. Mungkin mereka marah lantas mereka kritik tetapi sebenarnya mereka sayang kepada PKBM. Saya harap pengurusan PKBM harus berfikiran terbuka dan positif kepada kritikan tersebut.


Apakah impian akhir Datuk terhadap sukan berbasikal negara?

KBS memang mahu melihat sukan berbasikal berkembang menjadi satu kegiatan yang utama di kalangan masyarakat. Akhirnya kita boleh wujudkan masyarakat yang sihat menerusi sukan berbasikal. Apatah lagi sukan berbasikal tak perlukan banyak belanja seperti sukan tenis atau bola sepak. Untuk bermain tenis atau bola sepak, kita perlukan gelanggang atau padang yang sempurna. Ini menelan belanja besar.

Pada masa yang sama, sukan berbasikal juga tidak sama seperti badminton atau bola sepak. Kita masih boleh berkayuh seorang diri. Namun, badminton dan bola sepak mestikan dimainkan dalam jumlah yang besar. Orang akan tuduh kita sakit (mental) kalau kita mahu bermain badminton seorang diri. Malah, kita juga boleh kayuh basikal pada bila-bila masa tak kira siang atau malam. Kita juga boleh kayuh basikal pada waktu hujan. Malah, semua peringkat usia boleh melakukan kegiatan berbasikal. Sukan berbasikal juga boleh mengurangkan kos perubatan negara secara berperingkat-peringkat.

Secara realitinya, saya melihat sukan berbasikal boleh menjadi penyumbang pingat yang besar kepada Malaysia. Kita mungkin sukar berjaya dalam acara yang memerlukan fizikal badan besar tetapi bukan dalam acara berbasikal. Perkara ini sudah dibuktikan oleh Azizulhasni dan Fatehah yang berjaya di peringkat antarabangsa walaupun mempunyai saiz yang kecil.



- KOSMO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...