Pages

Sunday, July 22, 2012

Khabar kurang gembira dari London

KUALA LUMPUR - Penerjun-penerjun negara yang disandarkan harapan tinggi untuk membawa pulang pingat sulung Olimpik dari Temasya London tiada pilihan selain mempamer persembahan hampir sempurna apabila acara tersebut membuka gelanggang di Pusat Akuatik London, 29 Julai ini.
Tinggi rendah markah yang mereka mampu raih terletak di tangan barisan panel juri yang sebahagian besarnya didominasi pegawai dari Eropah.

Di sebalik penguasaan berterusan China dalam sukan ini untuk selama dua dekad lalu, peliknya, benua Asia hanya mempunyai satu perwakilan daripada sejumlah 17 juri yang dilantik untuk mengadili temasya sukan terbesar dunia itu.

Merujuk kepada senarai lengkap barisan juri yang diperolehi dalam laman web badan induk akuatik antarabangsa, FINA, didapati Eropah memiliki perwakilan terbesar dengan sembilan pegawai kesemuanya termasuk seorang dari negara tuan rumah, Great Britain.
Penerjun Australia boleh mengharapkan ihsan daripada dua juri benua Oceania, manakala negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico mempunyai sokongan kuat daripada lima juri benua Amerika, dan Afrika seorang.

Wakil tunggal Asia ialah pegawai dari China, Rao Lang.
Situasi itu jelas merumitkan peluang atlet kita untuk berdiri di podium bersama penerjun China, melainkan Pandelela Rinong dan rakan-rakan dapat berada pada prestasi terbaik dalam setiap cubaan - dengan kata lain, terjunan tanpa kesilapan yang tinggi kualiti bagi memukau hati juri-juri berkenaan.
Justeru, reputasi yang diperolehi penerjun utama kita seperti Pandelela, Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas dan Huang Qiang dengan beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa amat getir dan diharap dapat mempengaruhi penilaian juri nanti.

Sejak sukan terjun mula dipertandingkan pada Temasya 1904 di St. Louis, Amerika Syarikat, tiada negara Asia lain pernah memenangi walaupun satu pingat, termasuk gangsa kecuali China.
Lapan anggota skuad terjun ke Olimpik, telah berlatih secara intensif sejak dua bulan lalu dan diharapkan segala usaha yang dicurahkan di situ membuahkan hasil di London nanti.

Dengan sembilan slot yang diraih, Malaysia merupakan negara keenam daripada 25 negara bertanding menghantar bilangan atlet terbesar selepas China dan tuan rumah yang memiliki 12 kuota maksimum, diikuti Amerika Syarikat (11) serta Australia dan Mexico (10).

Skuad terjun yang baru pulang ke tanahair dari China Sabtu lalu untuk menguruskan akreditasi masing-masing, akan berlepas ke London malam ini. Pandelela-Cheong Jun Hoong akan memulakan saingan dalam acara 3m papan anjal seirama pada 29 Julai.



Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...