Pages

Sunday, July 22, 2012

Olimpik uji skil Peng Kean

BAKAT Yu Peng Kean (kanan) mula dicungkil ketika memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia 2014 di Kuala Lumpur. 
 
KUALA LUMPUR - Selepas lebih sebulan berkelana di bumi China bagi memantapkan prestasi, atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean sudah bersedia untuk berangkat ke kota London bagi menguji kemampuan sebenarnya pada Sukan Olimpik 2012 yang akan membuka tirai, Jumaat ini.

Kata anak muda kelahiran Melaka itu, Olimpik merupakan temasya yang amat hebat dan memberi peluang kepadanya untuk berdepan dengan ramai ramai jagoan bertaraf dunia.

"Kalau ditanya tahap keyakinan saya setakat ini, memanglah tidak 100 peratus tetapi apa yang boleh saya katakan, saya berada di prestasi yang bagus," katanya, yang bakal berlepas ke London bersama pasukan terjun, renang dan pegawai sukan Malaysia, pada jam 11 malam ini.

Peng Kean yang menjadi atlet lawan pedang kedua negara beraksi di Olimpik selepas Ronnie Theseira pada 1964 turut menambah, setelah 48 tahun berlalu, dia sama sekali tidak menduga akan mencatat sejarah buat negara untuk beraksi di temasya terbesar di dunia itu.

Katanya, bukan mudah untuk mendapat peluang keemasan tersebut dan sebab itu, dia perlu memberikan yang terbaik sewaktu bersaing di pentas Olimpik pada 29 Julai ini.

"Saya sedar yang saya mungkin akan berjumpa dengan lawan yang berada di ranking teratas dunia seawal pusingan pertama.
"Untuk temasya kali ini, saya menjangkakan jaguh Jerman yang menjadi prospek pingat di Olimpik antara lawan terawal yang perlu saya tentang,'' ujarnya.

Ditanya mengenai pengalamannya menimba ilmu di China, menurut Peng Kean, banyak yang dipelajari sepanjang berada di negara orang terutama menerusi pengalaman atlet yang lebih senior.

Peng Kean yang mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih kelahiran China, Rao Bin memberitahu, dia juga mendapat sparring yang cukup ramai dan mudah untuk memperbaiki teknik permainannya.

"Sejak berlatih di China, saya dapat rasakan peningkatan dari segi teknik saya bermain pedang. Semua ilmu yang saya peroleh ini akan saya jadikan bekalan ketika bersaing di London nanti," tambahnya.
Anak muda berusia 21 tahun itu mensasarkan untuk berada di kedudukan 16 terbaik untuk kategori sabre lelaki di London.



Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...