Pages

Thursday, July 12, 2012

'Sedih, tapi apa boleh buat'

Lee Chong Wei 
 
LONDON - Nada suara Datuk Lee Chong Wei tenang saja ketika diberitahu bahawa dia tidak akan membawa Jalur Gemilang pada Sukan Olimpik London kerana baginya, atlet lain juga layak menerima penghormatan itu, terutama calon pilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah Pandelela Rinong.
Namun, suaranya semalam bertukar sedikit sebak, ketika diberitahu, dia juga tidak 'diizinkan' untuk menyertai perbarisan kontinjen negara pada upacara pembukaan, 27 Julai ini kerana dari nada suaranya, dia begitu berhajat untuk merasai suasana gilang gemilang tersebut dalam penampilan terakhir di Olimpik.

Bagaimanapun sebagai atlet kebangsaan, Chong Wei berkata, dia akur dengan kehendak Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya tidak menyertai perbarisan dengan alasan untuk 'melindungi' kakinya yang sebelum ini cedera ketika beraksi pada Piala Thomas, Mei lalu.
"Memang saya sedih, tetapi apa boleh buat... sebagai atlet kebangsaan, saya akur dengan arahan yang diberikan. Kalau mereka tak bagi saya menyertai perbarisan tersebut, saya tidak bolehlah ikut sama.
"Ya, memang saya mahu menyertai kontinjen negara kerana ini merupakan Olimpik terakhir saya tetapi seperti yang saya kata tadi, ini bukan keputusan saya dan saya tidak boleh buat apa,'' ujar jaguh badminton negara itu dalam nada sedih.

Biarpun ini adalah penampilan ketiganya di Sukan Olimpik, namun Chong Wei tidak pernah berkesempatan untuk merasai suasana upacara pembukaan dalam dua temasya lalu kerana jadual pertandingan sering berlangsung pada keesokan hari selepas perarakan.

Namun kali ini, dia yang turun sebagai pilihan utama, mendapat bye pada hari pertama. Bermakna, Chong Wei hanya akan turun ke gelanggang pada 29 Julai, dua hari selepas upacara pembukaan, dan atas alasan itulah dia begitu bersemangat untuk merasai suasana perasmian Olimpik yang selalu diwarnai oleh majlis gilang gemilang.

"Saya tidak pernah rasa suasana pembukaan Olimpik, saya teringin sangat hendak merasainya. Saya tidak kisah tentang siapa akan bawa Jalur Gemilang, sebab semua orang yang berada dalam kontinjen Malaysia layak menerima penghormatan itu, saya cuma mahu jadi sebahagian daripada perarakan kerana saya tidak pernah rasa," ujar Chong Wei dengan nada penuh teruja, ketika ditemui minggu lalu.
Pada upacara Penyerahan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kontinjen negara di Putrajaya kelmarin, Ahmad Shabery berkata, sebagai prospek emas Olimpik pertama Malaysia di London, Chong Wei perlu dilindungi sepenuhnya.

"Keputusan tidak memilih Chong Wei membawa Jalur Gemilang pada perarakan kontinjen disebabkan kita takut kalau beliau mengalami kecederaan, jadi setiap masa kita perlu memantau keadaannya.
"Lagipun perarakan masuk kontinjen di majlis tersebut hanya dihadkan kepada 10 orang sahaja bagi setiap negara, jadi Chong Wei boleh berehat dan tumpukan kepada tahap kecergasannya terutama selepas pulih dari kecederaan buku lali kanan yang dialami pada Piala Thomas di Wuhan, Mei lalu," kata Ahmad Shabery kelmarin.

Walaupun hatinya tidak begitu gembira ketika berlepas bersama rakan-rakan sepasukan yang lain ke Bath, United Kingdom semalam untuk memulakan latihan insentif terakhir, namun Chong Wei menegaskan, sebagai pejuang sejati dia tidak akan membiarkan segala permasalahan luar gelanggang menganggu tumpuannya sepanjang Sukan Olimpik London.

Tegasnya, fokus untuk memburu pingat emas dalam kemunculan terakhir di temasya sukan terbesar dunia itu tetap membara dan tidak terjejas.

"Saya tahu, ramai yang meletakkan harapan tinggi terhadap saya dan mungkin mereka takut fokus saya lari, sebab itulah mereka tidak mahu membebankan saya dengan tanggungjawab lain. Apa pun, saya hargai keprihatinan mereka dan saya minta doakan saya berjaya di London,'' ujar Chong Wei lagi.
Selain, Chong Wei skuad badminton negara pada Olimpik kali ini turut diperkuatkan oleh beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan perseorangan wanita, Tee Jing Yi.



Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...