Katanya, penembak raifal angin 10 meter kelahiran Ipoh itu didapati berkeadaan sihat, begitu juga dengan bayi yang dikandungnya tujuh bulan lebih itu hasil pemeriksaan terbaru pakar Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil.
“ISN maklumkan dia baik, bayinya juga dalam keadaan sihat dan dia dijangka beraksi dan tidak terjejas ketika ini. Ya, dia memang (berada) dalam pasukan (kontinjen negara)," katanya selepas pelancaran Pameran Gambar Olimpians Malaysia di Pusat Beli-Belah Bangsar, semalam.
Menurut Tunku Imran, petugas sokongan khususnya pakar perubatan turut dibawa ke temasya London sebagai langkah berjaga-jaga selain memberikan khidmat nasihat kepada penembak berpangkat Leftenan Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.
Jelas beliau, pakar perubatan juga mengesahkan peluru tembakan raifal yang digunakannya mahupun oleh peserta negara lain, tidak akan mengganggu kandungannya biarpun akan kedengaran bunyi tembakan dan sedikit hentakan daripada senjatanya.
“Buat masa ini, saya berpuas hati dengan laporan pakar perubatan itu. Jadi buat masa ini dia memang dalam pasukan dan saya harap tiada apa (di luar jangkaan) yang terjadi kepadanya," katanya.
Nur Suryani akan berangkat ke London Ahad ini dan bertanding dalam acara kegemarannya itu, enam hari kemudian.
Sementara itu, Pameran Gambar Olimpians Malaysia yang bermula semalam hingga 12 Ogos dan dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Shou, diadakan untuk mengiktiraf pencapaian atlet negara sejak Olimpik Melbourne 1956.
Antara gambar dan artikel atlet Olimpian Malaysia yang dipamerkan ialah Tan Sri Dr. M. Jegathesan (olahraga), Rashid, Razif dan Jalani Sidek, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton), Isthiaq Mubarak (olahraga), Nurul Huda Abdullah (renang) dan Jimmy Chin (menembak).
- UTUSAN
0 comments:
Post a Comment