Pages

Wednesday, July 25, 2012

Ramuan tawan Arena Wembley

KIEN KEAT (kanan) dan Boon Heong berpeluang cerah untuk sekurang-kurangnya mara
ke peringkat suku akhir pada Sukan Olimpik 2012 di London.


“MASUK sahaja gelanggang, saya mahu mereka hanya fikir untuk menang.” Itu peringatan yang diberikan oleh ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Kim Her kepada gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjelang aksi pertama mereka pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London Sabtu ini.

Kim Her berkata, beliau tidak mahu beregu utama negara itu memikirkan mengenai hal-hal luar gelanggang, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya ketika berdepan dengan lawan yang akan ditentang nanti.

“Mereka kena kosongkan fikiran daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan tumpuan untuk beraksi dalam perlawanan terutama berhubung kemerosotan prestasi mereka sebelum ini.
“Itu semua sudah tidak boleh dijadikan ukuran lagi. Kini, segala-galanya terpulang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing. Jika mereka mahu menang, inilah masa yang terbaik untuk buktikan.

“Saya sudah beritahu kepada Kien Keat- Boon Heong, mereka perlu menguatkan mental, selain bijak mengawal psikologi diri sendiri.

“Yang paling penting mereka perlu beraksi dengan corak permainan mereka sendiri tanpa mengikut pihak lawan,” kata Kim Her ketika dihubugi Kosmo! di United Kingdom kelmarin.
Pada Sukan Olimpik kali ini, Kien Keat- Boon Heong diundi dalam Kumpulan D bersama-sama pasangan No. 1 dunia, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan selain Howard Bach-Tony Gunawan (Amerika Syarikat) dan Naoki Kawamae-Shoji Sato (Jepun).

Berdasarkan undian itu, Kien Keat-Boon Heong dijangka tidak berdepan masalah besar untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir atas tiket selaku naib juara Kumpulan D.
Bagaimanapun, Kim Her optimis anak- anak buahnya itu mampu untuk muncul selaku juara kumpulan, sekali gus mengetepikan cabaran Jae Sung-Yong Dae yang dilabel sebagai pilihan untuk mengungguli Kumpulan D.

“Kita perlu menjadi juara kumpulan jika mahu mengelak daripada bertemu dengan satu lagi pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong pada peringkat suku akhir kerana mereka dijangka menjadi juara Kumpulan B,” jelas Kim Her.

Kien Keat-Boon Heong akan membuka tirai cabaran di Arena Wembley menentang Kawamae-Sato, Sabtu ini, diikuti Bach-Gunawan keesokan harinya sebelum berdepan Jae Sung-Yong Dae dua hari kemudian.



Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...