Pages

Sunday, July 29, 2012

Percaturan PKBM tidak tepat?







LONDON - Apakah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membuat pilihan tepat untuk menyenaraikan Mohd. Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli bersaing dalam acara lebuh raya pada Sukan Olimpik 2012?

Itu persoalan yang perlu diperjelaskan oleh PKBM yang sebulat suara memilih dua pelumba berkenaan menggalas cabaran negara pada temasya di London ini.

Sebelum temasya di London bermula, PKBM telah menyenarai pendek beberapa pelumba untuk menggalas cabaran negara termasuk Anuar Manan dan Mohd. Hariff Salleh, namun badan induk sukan berbasikal negara itu membuat keputusan untuk memilih Adiq dan Amir Mustafa.
Alasan mereka ialah dua pelumba terbabit memiliki pengalaman bersaing di pentas antarabangsa berbanding Anuar dan Hariff.

PKBM mengambil kira pengalaman dan membelakangkan pencapaian seseorang pelumba itu dalam beberapa pertandingan tempatan mahu pun antarabangsa.
Kalau mengambil kira pencapaian, Hariff dan Anuar dilihat lebih layak kerana kedua-duanya sudah melakar reputasi tersendiri pada beberapa perlumbaan tempatan mahupun antarabangsa khususnya pada Le Tour de Langkawi (LTdL).

Namun, PKBM memilih untuk tidak menyenaraikan mereka, sebaliknya membuat keputusan untuk memilih kononnya pelumba yang banyak menimba pengalaman pada perlumbaan peringkat antarabangsa.

Bukan untuk memperkecilkan kemampuan Adiq dan Amir Mustafa tetapi aksi yang mereka pamerkan pada temasya di London ini sangat mengecewakan.
Tidak perlu menang pingat tetapi sekurang-kurangnya mereka mampu menamatkan perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Malangnya, mereka gagal menamatkan perlumbaan kerana diarah menarik diri selepas ketinggalan 18 minit di belakang pendahulu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohammad yang juga pengurus pasukan skuad lumba basikal ke Olimpik London melihat kekalahan itu daripada sudut yang berbeza.
Beliau mengakui bahawa pelumba negara kurang bernasib baik kerana terpaksa diarah menarik diri daripada perlumbaan selepas ketinggalan 18 minit daripada pendahulu.
Menurutnya, kejayaan melayakkan diri ke Olimpik secara merit sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan buat sukan lumba basikal negara.

Katanya, bukan senang untuk layak secara merit untuk berada dalam kalangan 144 orang pelumba terbaik dunia.

"Kita seharusnya rasa bersyukur kerana berjaya melayakkan diri secara merit ke Olimpik. Bukan senang untuk layak.

"Selepas melihat persembahan pelumba kita pada temasya di London ini, kita sudah nampak sejauh mana status kita dan ini memberi peluang kepada kita untuk melakukan sesuatu agar pelumba lebih kompetitif pada masa akan datang.

"Kita perlu memulakan kerja daripada sekarang dalam usaha untuk memantapkan persediaan barisan pelumba lebuh raya kita.

"Pelumba lebuh raya kita semuanya masih muda dan bermula daripada sekarang kita perlu mendedahkan mereka dalam lebih banyak perlumbaan yang mencabar di peringkat Eropah.
"Kita mungkin boleh menempatkan mereka dengan pasukan pro yang dilihat sebagai langkah terbaik untuk meningkatkan keyakinan mereka," kata Naim semalam.

Menurutnya, dalam masa empat tahun akan datang satu program perlu dirangka bagi meningkatkan tahap prestasi pelumba negara.

Apa pun katanya, kejayaan layak buat kali pertama ke Sukan Olimpik sudah boleh dianggap satu kejayaan kepada sukan lumba basikal negara.


- KOSMO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...