Pages

Sunday, July 29, 2012

Peng Kean Lakukan Upset Sebelum Tewas Kepada Atlet Pedang Nombor Lima Dunia


LONDON, 29 Julai (Bernama) -- Latihan dua bulan di Itali dan China membuahkan hasil bagi Yu Peng Kean yang melakukan upset dengan mengalahkan atlet pedang yang lebih terkemuka, atlet Mesir yang berada di ranking ke-28 dunia, Zeid Mannad dalam pusingan pertama acara lawan pedang pada Sukan Olimpik 2012.

Peng Kean menewaskan Zeid 15-2 untuk layak ke pusingan kedua sebelum kalah 1-15 kepada atlet pedang nombor lima dunia dari Hungary, Szilagyi Aron, dalam acara Sabre Individu Lelaki, yang berlangsung di South Hall, Olympic Park, di sini Ahad.

Peng Kean, 21, ranking ke-37 dunia, adalah atlet pedang kedua negara beraksi di Olimpik selepas Ronnie Theseira yang bersaing dalam acara individu foil, epee dan sabre di Tokyo pada 1964, memulakan perlawanan hari ini dengan penuh keazaman.

"Latihan yang saya jalani di Rome dan Guangzhou memberi saya lebih keyakinan apabila berdepan dengan atlet yang lebih tinggi rankingnya. Latihan di sana telah memperbaiki teknik saya," katanya kepada Bernama selepas selesai pertandingan di sini.

Peng Kean berada di Itali pada Jun sebelum meneruskan latihan di Guangzhou pada Julai, menjalani latihan dengan atlet daripada persatuan dan kelab di negara itu.

Atlet itu layak secara merit ke Olimpik berpandukan kiraan mata diperoleh serta kedudukan tempat kesembilan dan ketujuh ketika beraksi di Kejohanan Asia 2010 dan 2011.

Chef-de-mission kontinjen Malaysia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid apabila ditemui kemudian di venue berkata beliau bangga dengan pencapaian Peng Kean kerana atlet pedang negara itu merupakan peserta Malaysia tunggal yang berjaya memasuki pusingan kedua.

"Dia berjaya mengalahkan atlet pedang yang berada di ranking lebih tinggi dan ia adalah satu pencapaian baginya. Saya berharap kita akan melihat sukan pedang sebagai satu sukan yang serius sekarang kerana ia adalah sukan Olimpik," katanya.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...