Pages

Tuesday, July 24, 2012

'Saya okey' - Azizulhasni

KUALA LUMPUR - Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang memberi kelegaan apabila menegaskan kecederaan yang dialaminya di Koln, Jerman kelmarin tidak menjejaskan hasratnya untuk beraksi pada Sukan Olimpik London.

Dalam akaun laman sosial, Twitter Azizulhasni berkata, dia tidak apa-apa walaupun cedera pada tangan, paha dan bahu kanan akibat terjatuh dan tercucuk serpihan trek ketika menyertai perlumbaan kelmarin.

Azizulhasni yang mendapat jolokan The Pocketrocketman menegaskan tumpuannya adalah pada Sukan Olimpik yang akan membuka tirai secara rasmi Jumaat ini.

"Terima kasih di atas ucapan selamat berjuang dan semoga cepat sembuh daripada peminat. Kebimbangan saya sekarang bukanlah kecederaan, tetapi Sukan Olimpik," katanya.
Kemalangan kelmarin mencetuskan kebimbangan kerana ia hampir mengulangi peristiwa hitam Februari tahun lalu apabila serpihan trek sepanjang 20 sentimeter tertusuk pada betis kaki kiri Azizulhasni ketika dia menyertai Siri Piala Dunia Klasik di Manchester.

Sementara itu Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, tidak ada apa yang perlu dirisaukan tentang kecederaan Azizulhasni.
Beliau mengakui terdapat lebih kurang 60 serpihan trek tertusuk pada seluruh bahagian kiri tubuh Azizulhasni akibat kemalangan tersebut.

"Ia cuma kecederaan ringan yang memang biasa dialami oleh pelumba trek. Saya sudah berjumpa dengannya sebaik sahaja tiba di London semalam (kelmarin), hari ini (semalam) semua pelumba trek termasuk Azizulhasni berehat.

"Esok (hari ini) Azizulhasni akan kembali berlatihan bersama Josiah Ng dan Fatehah Mustapa di Velopark London iaitu velodrom rasmi untuk acara trek Olimpik London," katanya ketika dihubungi semalam.

Atlet berbasikal negara bersemangat tinggi sebaik sahaja tiba di London semalam dengan Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Zamri Salleh telah meninjau laluan untuk acara lebuh raya yang berlangsung Sabtu ini.



Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...