Pages

Thursday, July 26, 2012

Malaysia Gantung Harapan Pada Lebih Banyak Acara Untuk Raih Emas Di Olimpik London

LONDON, 26 Julai (Bernama) -- Apabila temasya sukan Olimpik Musim Panas 2012 membuka tirainya Jumaat ini, maka serentak itu juga bermulalah usaha Malaysia menamatkan penantiannya meraih pingat emas pertama acara sukan terbesar dunia itu.

Sejak Malaysia pertama kali menyertai sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956, hanya beregu lelaki badminton Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock (Atlanta,1996) dan pemain perseorangan badminton Datuk Lee Chong Wei (Beijing, 2008) berjaya menghampiri pingat emas apabila mereka menang pingat perak bagi acara masing-masing.

Pasangan adik beradik Razif dan Jalani Sidek memenangi pingat Olimpik pertama untuk Malaysia apabila mereka meraih pingat gangsa pada Olimpik Barcelona 1992, manakala adik mereka Rashid pula menang pingat gangsa juga bagi acara perseorangan lelaki pada sukan itu.

Jelas sekali, semua pingat dimenangi melalui acara badminton.

Bagaimanapun, berbeza dengan edisi Olimpik sebelum ini apabila Malaysia banyak bergantung pada badminton untuk memenangi pingat emas, pada Olimpik London, Malaysia akan menggantung harapannya pada beberapa acara lain untuk meraih pingat itu seperti berbasikal, terjun dan memanah.

Di bawah pimpinan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebagai chef-de-mission, Malaysia menghantar 30 atlet ke Olimpik London 2012.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar baru-baru ini berkata memandangkan kontinjen Malaysia ke Olimpik London dibarisi atlet berkualiti tinggi, maka mereka mempunyai banyak peluang untuk berjaya.

"Pada sukan Olimpik tahun ini, kita mempunyai lebih banyak peluang untuk memenangi pingat, berbanding pada Olimpik Beijing (2008).

"Kita ada lebih ramai penerjun hebat, penunggang basikal kita pula semakin baik prestasi mereka dan begitu juga anggota pasukan memanah lelaki kita. Untuk badminton, kita akan terus turunkan para pemain handalan kami," katanya.

Tiga puluh atlet berkenaan mewakili Malaysia dalam sembilan acara sukan iaitu memanah, olahraga, badminton, berbasikal, terjun, lawan pedang, belayar, menembak dan berenang.

Daripada acara yang disertai Malaysia, acara terjun mempunyai paling ramai atlet iaitu lapan, diikuti badminton (enam), berbasikal (lima), memanah (empat), berenang (dua), olahraga (dua) dan seorang setiap satu bagi acara lawan pedang, belayar dan menembak.

Nama-nama seperti Chong Wei (badminton), Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Pandelela Rinong dan Bryan Nickson Lomas (terjun) memang sudah tidak asing lagi dengan acara yang mereka sertai.

Ketekalan prestasi mereka ketika menyertai kejohanan peringkat dunia menunjukkan para atlet Malaysia memiliki kemampuan dan jika nasib menyebelahi mereka, tiada halangan yang tidak boleh mereka atasi.

Atlet menembak, Nur Suryani Mohd Taibi, 30, menjadi bahan berita utama di banyak negara kerana wanita bersemangat waja ini hamil lapan bulan lima hari apabila dia menyertai acara Air Rifle 10m perseorangan wanita yang dijadual berlangsung pada Sabtu, sehari selepas upacara perasmian sukan ini.

Dia juga merupakan atlet keempat yang bertanding pada sukan Olimpik dalam keadaan hamil selepas Magda Julin (1920), Diana Sartor (2006) dan Kristie Moore (2010), yang semuanya bertanding pada Olimpik Musim Sejuk.

Berkat sokongan dan doa 27 juta rakyat Malaysia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ganjaran menarik menanti atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pertama sukan Olimpik untuk Malaysia.

Melalui Skim Insentif Kementerian Belia dan Sukan (Shakam), atlet bertuah ini berpeluang mendapat insentif RM1 juta.

Di samping itu, syarikat perabot 3V Holdings Sdn Bhd juga menawarkan RM1 juta kepada rakyat Malaysia pertama yang memenangi pingat emas Olimpik.

Pemain badminton pula mendapat motivasi tambahan selain tawaran ganjaran RM2 juta itu apabila mereka turut berpeluang menerima insentif RM2 juta lagi daripada ketua Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) Datuk Seri Andrew Kam.

Kerajaan pula menyediakan RM26 juta untuk program 'Road to London' dari 2009 hingga 2012, yang bertujuan menamatkan penantian Malaysia meraih pingat emas pertama sukan Olimpik.

Kini, segalanya terserah kepada para atlet berkenaan untuk memberi yang terbaik dan membawa pulang pingat emas Olimpik yang sekian lama menjadi idaman Malaysia itu.

Sama-samalah kita mendoakan kejayaan mereka.



Daripada Zulhilmi Supaat  -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...