Pages

Sunday, July 15, 2012

Latihan Nur Suryani terganggu


NUR SURYANI (kanan) ketika ditemu bual wartawan BBC kelmarin.


RATU menembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi tidak menafi- kan tumpuan yang berikan oleh media sedikit sebanyak memberi kesan kepada sesi latihannya.
Lambakan sesi temu bual yang mahu dilakukan oleh pihak media terutama agensi media antarabangsa, membuatkan dia mengalami keletihan berganda.

"Bukan saya menolak untuk bekerja sama dengan media tetapi kedatangan mereka terutama media asing sewaktu saya menjalani latihan, sedikit sebanyak menganggu konsentrasi saya."
"Bukan saya saja yang terganggu, malah jurulatih, Saidov Isroil juga ada merungut apabila tumpuan saya sedikit tersasar gara-gara sesi temu bual yang dilakukan pada sewaktu latihan.

"Malah, saya juga sering kali ditegur olehnya kerana keletihan," kata olimpian negara yang bakal beraksi dalam acara 10 meter Air Rifle wanita pada Sukan Olimpik London hujung bulan ini.
Sejak tersebar berita mengenai kandungan dan menjadi atlet keempat hamil dalam sejarah penyertaan Olimpik, Nur Suryani tidak putus-putus mendapat perhatian media asing.

Semalam, Nur Suryani ditemui Kosmo! selepas menjalani satu temu bual khas bersama koresponden British Broadcasting Corporation (BBC) untuk Asia Tenggara yang berpangkalan di Bangkok, Thailand, Jonah Fisher.

Jelas sekali, bukan saja latihan yang berlangsung pagi semalam sedikit terjejas, Nur Suryani juga kelihatan agak keletihan selepas temu bual yang diadakan hampir tiga jam itu walaupun dilakukan dalam suasana santai.

Atlet berusia 29 tahun itu juga memberitahu, pihak media Rusia dan Singapura turut mahu mengadakan sesi temu bual bersamanya, namun terpaksa ditolak.
"Saya ada berbincang dengan jurulatih serta pengurus dan mereka bersetuju bahawa temu bual terakhir yang akan saya lakukan ialah pada 15 Julai (semalam).

"Selepas itu, satu sidang akbar khas akan diadakan di London bagi memberi peluang kepada semua petugas media tempatan dan antarabangsa untuk bertanyakan soalan.
"Jadi, selepas 15 Julai ini, saya berharap akan dapat menjalani latihan tanpa gangguan," katanya yang kini sarat mengandung lapan bulan.

Tambah Nur Suryani juga, waktu latihan yang sepatutnya menjadi sesi 'persendirian' juga seolah-olah dirampas daripadanya sejak kebelakangan ini.
Disebabkan perlu menghadapi media, waktu latihan yang sepatutnya sekitar dua jam, kini terpaksa dipanjangkan dan natijahnya, atlet kelahiran Perak itu mengalami keletihan berganda.

Jelasnya lagi, untuk beberapa hari terakhir sebelum berangkat ke London, sebolehnya dia mahu menghabiskan masa menyiapkan diri untuk menghadapi Olimpik dengan sebaik mungkin.
"Saya bukan saja menyiapkan diri saya, malah turut mempersiapkan bayi di dalam kandungan saya ini juga. Ini amat penting memandangkan tekanan yang akan diterima sewaktu pertandingan, cukup tinggi.
"Saya banyak berbual dengan bayi dan 'memujuknya' agar sentiasa bertenang sepanjang saya menjalani latihan serta pertandingan nanti.

"Alhamdulilah, 'kerjasama' antara saya dan bayi amat baik. Dia seolah-olah amat memahami situasi yang perlu saya hadapi. Boleh saya katakan, saya langsung tidak berada di dalam zon tekanan sepanjang menjalani latihan dalam tempoh mengandung ini," ujarnya yang masih cergas menjalani latihan lima kali seminggu.

Cuma jelas Nur Suryani, suaminya, Marhazli Mhotar sering mengingatkannya agar tidak melakukan sesuatu di luar kemampuannya.

"Seperti temu bual yang dijadualkan untuk saya. Suami saya menetapkan temu bual tidak boleh dilakukan pada waktu malam kerana mahu saya mendapat rehat yang secukupnya.

"Jadi, saya terpaksa menurutinya kerana dia adalah 'pakar psikologi' terbaik saya. Dia lebih tahu," kata Nur Suryani yang bagaimanapun tetap menghargai setiap liputan yang diberikan media kepadanya.
"Cuma, saya meminta sedikit ruang agar latihan saya berjalan seperti yang dijadualkan. Ini misi negara dan saya membawa harapan seluruh rakyat Malaysia," tegas Suryani.




Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...