Jika minggu lalu, pemain No. 2 dunia itu menghabiskan masa berjam-jam menonton 16 video pemain terbaik dunia, kali ini dia lebih spesifik dengan hanya menonton permainan Simon Santoso (Indonesia), Kenichi Tago (Jepun), Nguyen Tien Minh (Vietnam), Peter Hoeg Gade (Denmark) dan Chen Long (China).
Simon adalah lawan yang dijangka menanti Chong Wei di pusingan kedua. Tago dan Tien Minh pula calon pencabar di suku akhir dan Gade dan Chen Long adalah prospek utama yang bakal menanti Chong Wei di separuh akhir.
"Kami menonton video pusingan kedua sebaik mengetahui undian. Hasil daripada 16 buah video yang ditonton minggu lalu, kami cuba memahami gaya permainan lawan tetapi kali ini kami akan merangka taktik terbaik yang bakal digunakan pada hari pertandingan, ia lebih spesifik.
"Adalah penting untuk mendapatkan taktik yang tepat bagi setiap lawan. Biarpun di atas kertas laluan awal tampak cerah buat Chong Wei tetapi ia tidak semudah itu kerana dia sudah dua bulan tidak menyertai sebarang pertandingan, jadi persiapan terbaik harus dilakukan,"kata jurulatih Seu Bock.
Mengulas mengenai perjalanan Chong Wei pada Olimpik London, Seu Bock berkata, perlawanan pertama menentang Ville Lang dari Finland paling penting kerana ia akan menilai sejauh mana tahap kecergasan pemain tersebut selepas dua bulan tidak menyertai sebarang pertandingan akibat kecederaan buku lali.
"Lawannya pada perlawanan pertama mungkin tidak susah tetapi perlawanan itu amat penting buat Chong Wei. Selama ini kita hanya menguji dia di dalam latihan tetapi kali ini kita dapat melihat sejauh mana kecergasan dan kemampuan sebenarnya. Dari situ baru kita boleh merencana pelan seterusnya iaitu menentang simon.
"Daripada video terbaru yang kami tonton, corak permainan Simon tidak banyak berubah tetapi kepantasannya meningkat. Memang di atas kertas Chong Wei memegang kelebihan tetapi disebabkan dua dua bulan dia tidak beraksi, sedangkan Simon baru menjuarai Terbuka Indonesia bulan lalu, keadaan mampu menjadi lebih sukar daripada yang disangka.
"Jika melepasi pusingan kedua, tumpuan kemudian kepada Tago atau Nguyen di suku akhir. Kedua-duanya lawan yang sukar, amat liat dan memiliki semangat juang yang tinggi. Mereka bukan pemain pilihan, jadi kalah atau menang tidak membimbangkan mereka.
"Di separuh akhir pula, Chen Long adalah calon pilihan untuk bertemu Chong Wei berbanding Gade. Ketangkasan permainannya konsisten dalam tempoh dua bulan terakhir. Malah pada usia yang muda kecergasan juga dilihat memihak kepada pemain China ini. Namun dengan Chong Wei sudah 90 peratus kembali ke tahap terbaik, saya rasa dia ada peluang besar,'' ujarnya.
Chong Wei, 29, memegang rekod pertemuan 7-1 ke atas Simon, 11-0 ke atas Tago, Tien Min (8-1) dan Chen Long, 6-4. Dia juga memiliki kelebihan ke atas jaguh Denmark, Gade dengan menang 16 daripada 18 pertemuan mereka.
Juara bertahan dan pemain No. 1 dunia, Lin Dan mengetuai undian di sebelah bawah dan dijangka mengulangi pertemuan akhir Olimpik Beijing 2008 dengan rakan senegara, Chen Jin. Juara dunia lima kali itu juga menjadi calon utama untuk bertemu Chong Wei di final.
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment