Pages

Thursday, July 26, 2012

Inspirasikan diri dengan semangat Olimpik - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Sukan Olimpik 2012 akan memberi inspirasi kepada semua untuk mengetepikan segala perbezaan peribadi dan berganding bahu dengan semangat penuh keharmonian.

"Banyak perkara yang kita boleh pelajari dari semangat bersatu padu ini dan sekiranya ia dapat diamalkan sepanjang masa dan bukannya sekadar empat tahun sekali, maka saya yakin ia boleh menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik buat kita semua," kata dalam tulisannya di laman blog 1Malaysia.

Sukan Olimpik 2012 akan bermula secara rasmi di London hari ini.
Najib berkata, 30 atlet terbaik akan mewakili negara untuk bersaing dengan jaguh sukan dari seluruh dunia dan rakyat Malaysia pasti akan terus memberi sokongan padu kepada mereka.

Bagaimanapun, harus diingat dalam sesuatu permainan ia bukan semata-mata untuk memenangi pingat emas atau memecahkan rekod, tetapi sebaliknya memainkan peranan yang lebih penting dari itu kerana ia mampu memberi inspirasi kepada semua untuk terus mengecapi kejayaan, katanya.

"Aksi sesama manusia mencapai kejayaan besar boleh memberi inspirasi kepada generasi untuk berusaha mencapai kecemerlangan.

"Semangat setiakawan ketika beraksi juga mampu untuk menyatukan setiap negara tidak kira bangsa, agama serta ideologi politik mereka.

"Pada saya, semangat bersatu padu itu sama seperti yang terdapat di Malaysia dan lebih menyeronokkan lagi apabila semangat itu boleh dilihat pada skala yang lebih besar terutama di bandar seperti di London iaitu bandar kosmopolitan yang kaya dengan pelbagai budaya itu.

"Semangat kesukanan itu akan terus hidup di bandar yang bertutur dalam 150 bahasa pada setiap hari itu meskipun tanpa penganjuran Sukan Olimpik," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, penganjuran Sukan Olimpik telah banyak berubah sejak kali pertama ia membuat kemunculan sulung sebagai suatu pesta mulia dalam dunia Yunani (Greece) dan kini temasya itu disertai oleh 204 negara.

"Bagaimanapun, apa yang masih kekal sama dari dulu adalah setiap atlet akan berjuang habis habisan untuk menempuh kejayaan sekali gus meraikan kemenangan dan sudah pasti akan ada juga yang kecewa kerana gagal meraih sebarang pingat," katanya.

Katanya, sentiasa ada sesuatu istimewa mengenai tahun-tahun Olimpik yang mana beliau percaya banyak memberi kenangan indah.

"Saya sendiri masih ingat apabila pasukan Harimau Malaya buat pertama kali layak ke temasya sukan itu pada 1972 di Munich dan saya sangat bangga ketika menonton aksi mereka menentang Jerman meskipun kita tewas 3-0 tetapi semangat juang para pemain telah menjadi inspirasi kepada kita semua.
"Dua puluh tahun kemudiannya di Barcelona, saya sekali lagi amat gembira ketika menyaksikan Razif dan Jalani Sidek meraih pingat pertama negara di Sukan Olimpik selepas mereka berjaya meraih pingat gangsa dalam sukan badminton bagi acara beregu lelaki," katanya.

Najib meminta setiap rakyat Malaysia terus memberi sokongan padu kepada atlet negara ketika mereka berjuang untuk memenangi sesuatu pada Sukan Olimpik kali ini dan diharapkan pada temasya sukan yang lain juga. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...