Pages

Sunday, July 29, 2012

Doa rakyat Malaysia nadi kekuatan saya

DETIK yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Olimpik dibuka secara rasminya dengan gilang gemilang pada malam Jumaat lalu.

Saya sempat menonton upacara pembukaan di bilik hotel dan ia adalah kali ketiga saya tidak berkesempatan untuk turut serta.

Tidak merasai sendiri kemeriahan berarak pada upacara pembukaan Olimpik sememangnya menyedihkan, lebih-lebih lagi temasya London ini adalah yang terakhir untuk saya.
Banyak usaha dicurahkan penganjur untuk memastikan kemeriahan majlis, diwarnai kepelbagaian persembahan kebudayaan British dan saya percaya malam itu berjaya membuatkan seluruh dunia kagum.

Kami tidak tinggal di Perkampungan Sukan, sebaliknya pihak penganjur mengaturkan untuk kami menginap di sebuah hotel berhampiran Wembley Arena, iaitu venue untuk pertandingan badminton, bagi memudahkan pergerakan kami.

Saya sungguh teruja melihat begitu ramai peminat berkunjung ke stadium kelmarin (Sabtu) yang merupakan hari pembukaan badminton. Mereka tetap bersabar menanti giliran untuk masuk disebabkan pemeriksaan keselamatan yang diwajibkan.

Bagi kami pemain pula, ia sudah tentu menyeronokkan untuk berpeluang beraksi di dalam stadium penuh, diiringi sorakan padu yang mencetuskan suasana riuh gemuruh.

Berbalik kepada persiapan, saya sudah melakukan apa yang terdaya mengikut keadaan semasa.
Bukan mudah untuk mana-mana atlet pulang dari kecederaan dan saya juga tidak terkecuali kerana banyak faktor diambil kira dalam proses pemulihan.

Saya cukup bertuah kerana memiliki bantuan dan sokongan daripada sekumpulan individu yang bertanggungjawab dalam proses pemulihan.

Mereka yang dimaksudkan terdiri daripada doktor, pakar kondisi, ahli fisio mahupun pakar urut terapi dari Institut Sukan Negara (ISN).

Mereka semua bekerja keras untuk memastikan saya cergas sepenuhnya bagi bersaing merebut pingat emas di Olimpik.

Juga tidak dilupakan, dua jurulatih saya, Tey Seu Bock dan Rashid Sidek yang membantu saya membuat persiapan rapi, memastikan saya sentiasa kekal fokus.

Mereka menghabiskan banyak masa menganalisis video-video lawan yang berpotensi saya hadapi, dan Rashid, walaupun berpuasa, tetap bekerja kuat turun ke stadium bagi meneliti aksi bakal lawan saya.
Segelintir pihak mendakwa saya berada dalam keadaan tekanan untuk melakar kejayaan. Tidak mengapa, itu terpulanglah kepada pandangan dan penilaian masing-masing.

Apa yang pasti, saya mengetahui kebolehan diri dan berjanji kepada semua rakyat Malaysia yang saya akan mengerah segala kudrat untuk merealisasikan impian mereka pada 5 Ogos nanti.
Seperti yang saya sering nyatakan, saya mengambil berat setiap perlawanan yang diharungi tetapi tumpuan saya tetap terarah kepada tarikh 5 Ogos.

Pelbagai insentif menanti termasuk jongkong emas bernilai RM2 juta yang ditawarkan Pengerusi Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Datuk Seri Andrew Kam yang diumumkan secara mengejut baru-baru ini.

Saya amat mengenali Datuk Seri Andrew yang sememangnya mempunyai keghairahan dalam sukan badminton dan saya merasakan ganjaran itu datang tepat pada masanya untuk melonjakkan semangat pemain-pemain badminton negara di Olimpik.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tee Jing Yi tidak mendapat permulaan sempurna yang dicari-cari kelmarin, namun saya rasa mereka bermain dengan baik dan mungkin dapat menang. Peluang masih terbuka dan saya jangka mereka akan memberikan yang terbaik dalam baki perlawanan selepas ini.

Bagi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula, saya lihat betapa mereka dahagakan kejayaan berikutan persembahan menyakinkan yang membawa kepada kemenangan bersemangat ke atas pasangan Jepun.
Sampai di sini tulisan saya hari ini. Saya sudah tidak sabar menunggu ketibaan aksi kompetitif pertama menentang Ville Lang. Melangkah ke gelanggang hari ini menandakan kembalinya saya dari kecederaan dan misi pemburuan emas bermula.

Doa 28 juta rakyat Malaysia menjadi nadi kekuatan saya.



- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...