Pages

Thursday, July 26, 2012

Buruan pingat emas bermula


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di Putrajaya pada 11 Julai lalu.


LONDON - Sukan Olimpik 2012 London membuka tirai secara rasminya hari ini dan pemburuan pingat emas pertama buat Malaysia pada temasya sukan terbesar dunia itu juga bermula.
Sejak Malaysia membuat penampilan pertama pada temasya tersebut di Melbourne, Australia pada 1956, setakat ini hanya acara badminton yang tampil sebagai penyumbang pingat.
Kebanggaan Malaysia setakat ini ialah meraih dua pingat perak pada temasya tersebut yang disumbangkan oleh beregu lelaki badminton, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Datuk Lee Chong Wei pula melakukannya pada 2008 di Beijing, China.
Sebelum itu, gandingan Razif dan Jalani Sidek menyumbang pingat gangsa pada temasya 1992 di Barcelona apabila acara badminton di perkenalkan buat pertama kalinya pada temasya Olimpik manakala Rashid Sidek turut menang gangsa pada temasya 1996.
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa badminton masih kekal sebagai acara sukan yang agak kerap menyumbang pingat buat kontinjen negara meskipun gagal pada temasya di Sydney (2000) dan Athens (2004).

Pada temasya kali ini, kontinjen Malaysia tidak lagi bergantung harap kepada badminton untuk menyumbang pingat memandangkan ada beberapa acara lain terutama terjun dan lumba basikal juga dilihat berpotensi untuk menjejak kaki ke podium.

Terjun dan lumba basikal merupakan dua acara yang memiliki kekuatan untuk melakar keajaiban berdasarkan prestasi cemerlang barisan atletnya dalam beberapa siri kejohanan dunia sebelum ini.
Pilihan bagi acara terjun sudah pastinya Pandelela Rinong dan Azizulhasni Awang pula menjadi sandaran dalam acara lumba basikal.

Memetik kata-kata Presiden Majlis olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar: "Peluang kontinjen Malaysia untuk meraih pingat pada temasya kali ini agak cerah kerana kontinjen kali ini dibarisi 30 atlet yang berkualiti tinggi."

Justeru, katanya, mereka dilihat mempunyai banyak peluang untuk berjaya selain mengharapkan keajaiban daripada acara seperti memanah.
"Sebahagian besar atlet negara yang layak ke Olimpik London adalah menerusi merit dan bukannya menerusi penyertaan wild card," katanya.

"Kali ini, kita memiliki ramai penerjun hebat, atlet lumba basikal kita pula semakin mempamerkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa dan begitu juga dengan anggota pasukan memanah.
"Bagi acara badminton, Malaysia memang sudah mempunyai ramai pemain berkelas dunia dan atas sebab itu, saya mempunyai keyakinan bahawa atlet kita bakal meraih kejayaan cemerlang pada temasya di London ini."

Pada temasya kali ini, Malaysia akan bersaing dalam sembilan acara sukan iaitu iaitu memanah, olahraga, badminton, lumba basikal, terjun, lawan pedang, pelayaran, menembak dan renang terbuka.
Daripada acara tersebut, terjun mempunyai paling ramai atlet iaitu lapan, diikuti badminton (enam), lumba basikal (lima), memanah (empat), renang terbuka (dua), olahraga (dua) dan seorang setiap satu bagi acara lawan pedang, pelayaran dan menembak.

Atlet seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Pandelela Rinong dan Bryan Nickson Lomas (terjun) memang dilihat berada dalam kelas tersendiri dalam acara yang mereka sertai.

Kehebatan mereka ketika menyertai kejohanan dunia menunjukkan para atlet Malaysia memiliki kemampuan dan tiada sebab untuk mereka gagal menyumbang sesuatu kepada kontinjen negara.
Andai prestasi cemerlang itu diteruskan pada Olimpik London berserta tahap keyakinan mental yang tinggi, peluang menggenggam pingat adalah sangat cerah.

Atlet menembak, Nur Suryani Mohd. Taibi, 30, yang menjadi tumpuan oleh media antarabangsa pada temasya kali ini juga tidak boleh diketepikan.
Semangatnya untuk beraksi sungguh menakjubkan meskipun sedang mengandung lapan bulan lima hari.

Dia akan beraksi dalam acara kegemarannya, air raifal 10m perseorangan wanita yang dijadual berlangsung pada esok, iaitu sehari selepas upacara perasmian temasya kali ini.
Dia juga merupakan atlet keempat yang bertanding pada sukan Olimpik dalam keadaan mengandung selepas Magda Julin (1920), Diana Sartor (2006) dan Kristie Moore (2010), yang semuanya bertanding pada Olimpik Musim Sejuk.

Dengan habuan lumayan menanti atlet negara yang berjaya meraih pingat pada temasya kali ini, ia sepatutnya sudah cukup untuk melonjakkan semangat mereka merealisasikan impian 27 juta rakyat Malaysia untuk melihat emas pertama Olimpik.

Melalui Skim Insentif Kementerian Belia dan Sukan (Shakam), atlet yang berjaya meraih emas berpeluang mendapat insentif RM1 juta.

Selain itu, syarikat perabot 3V Holdings Sdn. Bhd. juga menawarkan RM1 juta kepada rakyat Malaysia pertama yang memenangi pingat emas Olimpik.

Pemain badminton pula dilihat mendapat motivasi tambahan.Selain insentif berjumlah RM2 juta itu, mereka turut berpeluang menerima insentif RM2 juta dalam bentuk jongkong emas yang ditawarkan oleh pengerusi Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Datuk Seri Andrew Kam.



- KOSMO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...