Pages

Sunday, July 1, 2012

Awas 'muslihat' China

KUALA LUMPUR - Kekalahan Lin Dan pada separuh akhir Terbuka Thailand dan Chen Long serta Chen Jin di pusingan awal Terbuka Indonesia cuma taktik China untuk mengaburi kekuatan sebenar menjelang Sukan Olimpik London, tegas jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock (gambar).
Seu Bock berkata, dengan menjadi satu-satunya negara yang memiliki tiga wakil dalam perseorangan lelaki, China berada dalam tekanan hebat untuk membawa pulang pingat emas acara itu, justeru mereka akan melakukan apa jua taktik untuk mengendurkan tekanan pemainnya, selain enggan mendedahkan kekuatan mereka.

Katanya lagi, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tidak akan terpedaya dengan muslihat pemain-pemain negara itu, malah sedar apa jua keputusan yang dicatat mereka dalam beberapa pertandingan menjelang Temasya London bukan gambaran situasi sebenar.

"Kita sudah masak sangat dengan taktik China yang suka menggunakan 'permainan rahsia'. Mereka mahu menyembunyikan kekuatan dan memperdayakan pemain lawan dengan menunjukkan permainan yang berbeza daripada yang sebenar.

"Lin Dan kalah di Thailand, Chen Long dan Chen Jin di Indonesia, anda fikir mereka benar-benar tidak bagus atau lawan terlalu bagus? Tidak mungkin semua kekalahan ini adalah kebetulan, sudah tentu ada muslihat di sebaliknya,'' ujar Seu Bock ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Lin Dan, yang merampas takhta No. 1 dunia daripada Datuk Lee Chong Wei, dua minggu lalu mengalami kekalahan mengejut 17-21, 16-21 kepada Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia di separuh akhir Grand Prix Emas Terbuka Thailand, awal bulan ini.

Pemain No. 3 dunia, Chen Long pula dikejutkan pemain India, Kashyap Parupalli 17-21, 14-21 pada pusingan kedua Terbuka Indonesia, dua minggu lalu dan Chen Jin tersingkir seawal pusingan pembukaan kepada Jan O Jorgensen dari Denmark pada kejohanan yang sama selepas menarik diri pada kedudukan 16-21, 7-10.

Ditanya mengenai kebangkitan yang ditunjukkan Boonsak Posana dengan menjuarai Terbuka Singapura, minggu lalu, Seu Bock berkata, jaguh Thailand itu mungkin mempamer peningkatan, namun pada akhirnya, pemain China tetap lawan sebenar Chong Wei sepanjang Temasya London, 27 Julai hingga 13 Ogos ini.



Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...