Pages

Thursday, February 23, 2012

Jangan pisang berbuah dua kali - Tengku Abdullah


Sultan Azlan Shah (duduk) memberi kata-kata semangat kepada skuad kebangsaan yang akan ke kelayakan Olimpik 2012 di Dublin. Turut berada di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan pegawai-pegawai MHC.


KUALA LUMPUR - 'Jangan pisang berbuah dua kali', itu pesanan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Ahmad Shah kepada barisan pemain hoki negara yang akan beraksi di Dublin, Ireland bagi menghadapi kelayakan Olimpik 2012.

Berharap nasib dan rezeki akan berpihak kepada Malaysia pada kali ini, beliau mengingatkan para pemain mampu menampilkan rentak permainan yang terbaik dan konsisten sehingga perlawanan terakhir sambil mahu menjadikan kegagalan meraih pingat emas di Sukan Asia 2010 sebagai satu pengajaran berguna.

''Mereka telah beraksi dengan baik sekali semasa di Sukan Asia tetapi apabila berada di perlawanan akhir, mereka tidak menampilkan permainan yang diharapkan.
''Kegagalan ini perlu dielakkan sekali lagi lagi dan saya mahu semua pemain imbas kembali mengapa mereka tidak berjaya di perlawanan akhir Sukan Asia.

''Cuma nasihat saya, jangan pisang berbuah dua kali dan jangan ulang kesilapan yang sama serta dapat tampilkan rentak sebenar dalam semua perlawanan," katanya pada sidang media pengumuman senarai 18 pemain yang akan membawa cabaran negara di pusingan kelayakan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland dari 11-18 Mac ini.

Malaysia yang terlepas dua kali edisi terakhir Sukan Olimpik pada tahun 2004 dan 2008 akan bertemu Chile pada perlawanan sulung diikuti Rusia sehari kemudian sebelum Ukraine (13 Mac), Korea Selatan (15 Mac) dan Ireland (17 Mac) pada perlawanan terakhir.

Pasukan di tangga pertama dan kedua akan bertemu pada perlawanan akhir dan pemenang akan menempah tiket ke Sukan Olimpik London 2012.

Pada majlis pengumuman itu, Sultan Perak yang juga bekas Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Sultan Azlan Shah turut hadir meniupkan semangat kepada para pemain.

Sementara itu, Beng Hai berkata, pemilihan dua pemain muda, Mohd. Izzat Mohd. Rahim dan Mohd. Fitri Saari adalah kerana mereka layak disenaraikan secara merit dan ia tidak perlu dipersoalkan.


 - UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...