Pages

Monday, June 18, 2012

KBS yakin gapai emas Olimpik

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) yakin dapat melepasi sasaran awal memungut lebih daripada satu pingat emas pada Sukan Olimpik London 2012, Julai depan berikutan prestasi baik ditunjukkan para atlet yang bakal bertanding.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, para atlet kini sedang menunjukkan prestasi terbaik dan melalui latihan berterusan beliau yakin Malaysia mampu mengutip lebih banyak pingat termasuk emas.

“Acara lumba basikal yang bakal disertai beberapa pelumba ternama seperti Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa dan kemungkinan pasangan adik-beradik, Mohd. Harrif Salleh serta Mohd. Zamri berpeluang memberi keputusan mengejut buat negara.

“Kita menyasarkan emas dalam acara seperti badminton tetapi prestasi baik ditunjukkan atlet lumba basikal negara pada masa ini adalah tidak mustahil dapat menambah pungutan emas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 1Felda di Kampung Kuala Kerteh, Dungun, Terengganu kelmarin.

Terdahulu, Shabery bersama kira-kira 300 belia dan remaja menyertai acara kayuhan basikal fixie sejauh 20 kilometer dari Felda Kerteh 5 ke Kampung Kuala Kerteh.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, biarpun penyumbang emas pertama Sukan Olimpik London 2012 akan diberikan ganjaran berupa wang tunai berjumlah RM2 juta, namun itu bukan satu keutamaan kepada atlet negara.

Sebaliknya beliau menjelaskan, atlet negara tidak pernah mengambil kira faktor luaran apabila mereka bersaing.

Katanya, mereka hanya fokus untuk menang dalam lapangan sukan masing-masing.
“Soal ganjaran tidak menjadi pertimbangan atlet kerana mereka tahu jika ada fokus lain selain menang, permainan dan kemampuan mereka akan terganggu.

“Skuad negara belum pernah mendapat pingat emas dalam sukan Olimpik. Kita telah buat kajian dan kerajaan akan memberikan hadiah kemenangan kepada atlet yang merangkul pingat emas pertama,” ujarnya pada sidang akhbar selepas melepaskan larian Team Malaysia Fan Run TM di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.




- KOSMO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...