Pages

Thursday, August 2, 2012

Prestasi hari pertandingan tentukan kutipan pingat

LONDON - Ketua kontinjen negara ke temasya terbesar sukan dunia 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, faktor utama bagi atlet Malaysia membawa pulang pingat emas dari kota raya ini ialah prestasi Olimpik mereka sendiri.

“Kita perlu realistik. Jangan bercakap mengenai prestasi sebelum Olimpik kerana yang menentukan sama ada atlet negara mampu memecah kebuntuan emas ialah prestasi mereka ketika waktu pertandingan.

“Walau bagaimana bagus pun rekod seseorang atlet berbanding lawannya, berdasarkan ranking atau rekod pertemuan sebelum ini, prestasi semasa pertandingan akan menentukan kemenangan," katanya kepada pemberita Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, masyarakat tidak sepatutnya memberi tekanan berlebihan kepada 30 atlet negara yang kini berjuang untuk membawa pulang pingat emas pertama negara pada temasya Olimpik London.
“Jika tidak dapat membawa pulang emas itu, kita kena lihat pencapaian dari sudut lain seperti kejayaan atlet memperbaiki pencapaian peribadi atau mencatat rekod kebangsaan.

“Kejayaan mereka layak ke temasya ini sendiri ialah satu pencapaian kerana bukan semua atlet layak bertanding di peringkat Olimpik," katanya.

Ahmad Sarji berkata berdasarkan pengalamannya selama seminggu di London, beliau mendapati banyak jenis sukan yang perlu diberi perhatian kerana dijangka mampu memberi peluang meraih pingat di peringkat Olimpik.

Beliau berkata, tiga perempat bumi Malaysia diliputi air dan anugerah itu sepatutnya diguna bagi membangunkan sukan air seperti kanu, mendayung dan pelayaran kerana sukan itu dipertandingkan di peringkat Olimpik.

“Bukan untuk melupakan sukan elit seperti badminton, berbasikal atau memanah tetapi dengan banyak lagi sukan diberi tumpuan, peluang untuk mendapat pingat daripada acara Olimpik, lebih cerah," katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau akan mencadangkan perkara itu dalam laporannya kepada Kementerian Belia dan Sukan selepas berakhirnya temasya 13 Ogos ini.



- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...