Pages

Monday, August 6, 2012

Gagal Raih Emas, Chong Wei Tetap Dianggap Wira


KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Meskipun gagal dalam misi membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik London, perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei tetap meraih sokongan rakyat Malaysia.

Bekas pemain perseorangan kebangsaan Ong Ewe Hock berkata Juara All-England 2010, 2011 itu boleh dianggap sebagai wira negara.

"Pada pemerhatian saya Chong Wei telah bermain dengan baik sekali, namun saya juga berpendapat masih banyak ruang untuk beliau perbaiki dan beliau perlu mengasah lagi kelebihan yang ada padanya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Chong Wei, yang turun sebagai pilihan utama kejohanan, membawa pulang perak setelah tewas 21-15, 10-21, 19-21 kepada jaguh China Lin Dan pada perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki di Arena Wembley, London semalam.

Keputusan itu mengulangi pencapaian di Beijing empat tahun lepas apabila beliau turut kecundang pada lawan yang sama.

Pemain dari Pulau Pinang itu nyata kecewa dengan kekalahan tersebut dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia menerusi pesanan ringkas "I'm sorry" menerusi laman twitternya.

Berdasarkan tinjauan Bernama pada laman web sosial seperti Facebook dan Twitter, rakyat Malaysia amnya tidak menyalahkan atlet itu dan menganggap beliau telah melakukan yang terbaik.

Antaranya Mhh Meow (Mohd Hilmie Husin) yang menulis di laman Facebook beliau "tak mengapa Datuk Lee Chong Wei, semangat melawan itu penting, tidak perlu malu, kami tidak ada yg lebih baik dari anda."

Hady Abdul Hamid pula menulis "Kalau korang sokong LCW (Lee Chong Wei), pergi beli BR (Baskin Robin) sendiri laa".

Tidak ketinggalan menunjukkan sokongan pemain skuash wanita nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David yang menulis menerusi laman Facebook beliau, "such an amazing effort from our Malaysian Lee Chong Wei in the badminton finals! We're all so proud of you!" (usaha yang begitu mengagumkan daripada pemain Malaysia kita Lee Chong Wei pada perlawanan akhir badminton! Kami semua amat bangga dengan anda!)

Sementara itu bekas pemain beregu kebangsaan Razif Sidek berkata keputusan Chong Wei untuk tidak lagi menyertai Olimpik mungkin akan menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan emas Olimpik.

"Itu terpulang pada Chong Wei. Namun jika beliau berundur, kita masih ketiadaan pemain yang boleh menggantikan beliau," katanya yang juga merupakan pemenang pingat pertama Olimpik negara di Barcelona 1992.

Beliau yang ketika itu bergandingan dengan abangnya Jailani Sidek meraih gangsa menerusi acara beregu lelaki.

Katanya lagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak boleh lagi berdiam diri dan perlu segera bertindak merombak semula program prestasi tinggi badan induk itu dalam usaha melahirkan pemain badminton setaraf Chong Wei.

Chong Wei akan tiba di tanah air 7.30 pagi esok.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...