Pages

Thursday, August 2, 2012

Peluang terjun baiki imej

LONDON - Malaysia akan meneruskan aksi memburu pingat pada hari keempat acara terjun menerusi dua wakilnya Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee yang akan beraksi dalam acara 3 meter papan anjal wanita individu dekat Pusat Akuatik Olympic Park di sini, hari ini.

Acara ini juga juga adalah peluang kedua buat Jun Hoong untuk menutup kekecewaannya dalam saingan 3m papan anjal seirama ketika berpasangan dengan Pandelela Rinong sebelum ini.
Walaupun kedua-duanya masih baru digandingkan dan pertama kali beraksi di Sukan Olimpik, itu tidak mustahil buat Jun Hoong dan Yan Yee untuk melakukan kejutan jika mereka dapat mengurangkan kesilapan sepanjang menyempurnakan enam gaya terjunan pada hari ini.

Paling penting bagi kedua-duanya memikat para juri pada terjunan pertama kerana ia akan mempengaruhi pemberian markah dalam baki terjunan seterusnya.

Jurulatih skuad terjun Yang Zhuliang sebelum ini berkata, kesilapan dalam terjunan pertama perlu dielakkan kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan penilaian para juri untuk terjunan seterusnya.
Katanya, persembahan yang sempurna perlu jika mahu mendapat markah yang tinggi.

Sementara itu, Koo Cai Lin seperti diduga gagal melepasi pusingan kelayakan acara renang 800 meter gaya bebas wanita di Pusat Akuatik, semalam.

Perenang negara itu yang bertanding atas tiket wildcard mencatat lapan minit 51.18 saat untuk menduduki tempat keenam dalam saringan kedua.

Catatan itu bagaimanapun, gagal mengatasi rekod kebangsaan 8:45.36s miliknya.

Saringan itu dimenangi perenang Liechtenstein, Julai Hassler, 8:35.18s. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...