MASIH ada ruang lagi untuk skuad berpasukan memanah wanita negara untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik London yang akan membuka tirai pada 27 Julai depan.
Peluang tersebut muncul apabila hanya sembilan negara sahaja yang telah layak bagi mengisi 12 slot yang disediakan pada temasya sukan berprestij itu dalam acara berpasukan.
Namun, pasukan negara perlu mempamerkan aksi cemerlang pada aksi kelayakan yang akan berlangsung pada Kejohanan Memanah Piala Dunia Peringkat Ketiga di Ogden, Amerika Syarikat pada 21 Jun ini.
Kejohanan ini telah dijadikan sebagai pusingan kelayakan untuk merebut tempat ke Sukan Olimpik 2012.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yakin skuad memanah negara mampu mengisi salah satu kekosongan tersebut menerusi gandingan Nurul Syafiqah Hashim, Nur Amirah Mohamed, Shahira Abdul Halim dan Ng Sui Kim.
Ahmad Sarji berkata, para pemanah wanita negara mempunya peluang yang baik berdasarkan pada rekod mereka pada kejoha- nan-kejohanan lepas serta prestasi mereka ketika melakukan persiapan untuk menghadapi Olimpik 2012.
“Mengikut laporan, mereka ini telah mencapai tahap persediaan yang cukup baik dan cuma ada satu lagi pertandingan yang mana beberapa orang daripada pemanah (wanita) akan cuba untuk melepasi had kelayakan ke Sukan Olimpik,” katanya selepas melawat kem latihan skuad memanah negara di Lapang Sasar Memanah, Bukit Jalil semalam.
Malah, bekas Ketua Setiausaha Negara itu turut berbangga dengan sikap yang dipamerkan oleh para pemanah yang sentiasa bersikap sederhana dan tidak terlalu memberi harapan terlalu tinggi untuk mencipta kejayaan di Od- gen, sekali gus melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
“Setelah berbincang dengan jurulatih (Lee Jae Hyung) dan para pemanah, mereka kata peluang untuk melakukan pencapaian terbaik tetap ada.
“Mereka tidak terlalu yakin tetapi saya percaya mereka mampu kerana dalam acara ini, pasukan yang berada di ranking paling bawah juga mampu menewaskan pilihan pertama.
“Jadi, harapan pemanah-pemanah kita ini tetap ada dan mereka hanya perlu berlatih dengan bersungguh-sungguh kerana lebih banyak anda melakukan latihan, lebih besar peluang untuk mencipta kejayaan,” jelasnya.
Sementara itu, Shahira, 20, memberitahu, kerjasama berpasu- kan menjadi kunci utama bagi skuad wanita negara untuk memburu tempat ke London bagi acara berpasukan.
“Saya percaya, kalau kami terus konsisten dan mempertahankan kerja berpasukan, kami mampu melepasi had kelayakan.
“Ini kerana persiapan pasukan juga sangat baik dan kami akan cuba lakukan yang terbaik.
“Peluang akan menjadi lebih cerah sekiranya kami berjaya mencatat 210 mata ke atas.
“Jika skor ini konsisten sepanjang pertandingan, kami berpelu- ang beraksi di London nanti,” katanya.
Untuk rekod, seramai empat atlet memanah negara telah menempah tempat ke sukan berprestij dunia itu iaitu Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Muhamad dan Haziq Kamaruddin (individu recurve lelaki dan berpasukan lelaki), manakala Nurul Syafiqah untuk individu recurve wanita.
Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
0 comments:
Post a Comment