Bagaimanapun, jurulatih perseorangan kebangsaan, Tey Siu Bock berkata, Chong Wei hanya melakukan latihan ringan setiap hari, iaitu 50 peratus daripada tahap latihan yang biasa dilakukan.
"Buat masa ini fokus utama Chong Wei adalah pada rehab (proses pemulihan).
"Dia hanya akan menjalani latihan ringan iaitu menumpukan pada tangan sahaja. Tak boleh terlalu berat kerana takut akan menjejaskan lagi kecederaan," kata Seu Bock.
Chong Wei, 29, mengalami kecederaan buku lali kanan ketika beraksi menentang Peter Hoeg Gade dari Denmark pada kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China bulan lalu.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 yang menjadi sandaran utama Malaysia untuk meraih emas di Temasya London bulan depan itu, kini menjalani rawatan fisioterapi di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN).
Biarpun tampak amat bersemangat untuk memulakan latihan dan masih mampu melakukan pukulan kencang, namun Chong Wei tidak banyak melakukan gerakan kaki serta lompatan.
Dia hanya berlatih kira-kira 30 minit bersama Seu Bock sejurus selesai melakukan fisioterapi.
Tegas Seu Bock, beliau akan sentiasa memantau proses pemulihan anak buahnya itu menerusi maklum balas yang diterima setiap minggu daripada ISN.
"Kita pun tak tahu berapa cepat proses pemulihan Chong Wei. Mungkin ambil masa empat hingga lima minggu lagi, bagaimanapun kita akan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada doktor yang merawatnya."
- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment