Pages

Friday, April 20, 2012

Misi buru emas Olimpik tak terjejas


AZIZULHASNI jadi pilihan PKBM.

MISI mengutip pingat emas pertama Malaysia dalam acara trek berbasikal di Sukan Olimpik 2012 London tidak akan terjejas dengan keputusan kem negara menyenaraikan Mohd. Azizulhasni Awang sebagai pelumba utama dalam acara keirin dan pecut pada temasya tersebut, Julai depan.

Pada temasya di London itu, skuad trek negara layak beraksi dalam tiga acara iaitu keirin dan pecut (lelaki) serta keirin wanita, namun terpaksa menurunkan seorang sahaja pelumba dalam setiap acara menerusi kuota yang diberikan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa.

Ketika acara keirin wanita sudah pasti menjadi milik ratu pecut negara, Fatehah Mustapa, kem negara bagaimanapun 'panas' seketika apabila timbul persoalan tentang siapakah pelumba yang bakal mengisi satu slot acara keirin dan pecut lelaki.
Namun, semua persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila Naim mengesahkan bahawa keutamaan telah di berikan kepada Azizulhasni dalam dua acara berkenaan, manakala Josiah pula menggalas peranan sebagai pelumba simpanan dan sparring partner (rakan sepelatih).

"Kita akan membawa ketiga-tiga pelumba itu (Azizulhasni, Josiah dan Fatehah) ke London nanti," jelas Naim selepas Majlis Penajaan Jersi Putih Jelajah Malaysia (JM) 2012 oleh 100Plus di Kuala Lumpur semalam.

"Tetapi berdasarkan prestasi semasa dan penilaian pada Kejohanan Trek Dunia 2012 di Melbourne baru-baru ini, kami memutuskan untuk meletakkan Azizulhasni sebagai pelumba utama dan Josiah pula sebagai simpanan dan sparring partner.

"Semua ini bagaimanapun masih bergantung kepada penilaian akhir yang akan dibuat beberapa hari sebelum acara di London bermula. Namun, yang pastinya Josiah akan tetap kami bawa ke London," tambahnya lagi.
Azizulhasni, 24, merupakan pemenang pingat perak acara pecut Kejohanan Dunia 2009 dan pernah memegang status pelumba keirin No. 1 dunia pada 2010 sebelum terpaksa berehat panjang setelah cedera di betis ekoran tertusuk serpihan trek pada Piala Dunia Klasik, Manchester awal tahun lalu.
Sementara itu, prestasi Josiah, 32, pula dilihat semakin meningkat setelah memenangi pingat emas keirin pada Sukan Komanwel 2010 dan terbaharu, Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 di Kuala Lumpur, Februari lepas.

Begitupun, pada Kejohanan Dunia di Melbourne awal bulan ini, Azizulhasni dilihat lebih menyerlah dengan layak ke separuh akhir keirin dan menduduki tempat ke-27 acara pecut. Ini berbanding Josiah yang terkandas pada pusingan awal.

"Semua penilaian ini dibuat berdasarkan prestasi semasa dan Josiah juga telah mengetahuinya, malah memberitahu yang dia akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Azizul- hasni dalam misi kita memenangi emas pertama di Olimpik.

"Jadi, tidak timbul isu tentang persiapan kita terjejas kerana mereka saling tidak memberi sokongan antara satu sama lain seperti yang digembar-gemburkan selama ini.
"Saya ingin tekankan bahawa biarpun sebagai pelumba simpanan, khidmat Josiah masih tetap penting dalam kem negara," jelas Naim lagi.

Sementara itu, mengenai persiapan negara sebelum ke Olimpik, beliau menambah: "Skuad negara akan menjalani latihan pusat selama tiga minggu di Ghemp, Belgium sebelum ke London. Di sana mereka mempunyai kelengkapan sukan yang cukup lengkap untuk berlatih.

"Sepanjang di sana juga kita akan menyertai dua kejohanan pemanas badan iaitu Cottbun, Belgium (Jun) dan Cologne, Jerman pada Julai."



KOSMO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...