Masalah kecederaan yang menyebabkan pemain berusia 29 tahun itu tidak dapat beraksi pada Siri Super Premier Terbuka Indonesia, minggu lalu membuka laluan kepada Lin Dan untuk merampas kembali takhta No. 1 yang telah dipegang dari 2004 hingga 2008, sebelum dirampas oleh Chong Wei pada 21 Ogos, 2008.
Biarpun kalah mengejut kepada Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia pada Grand Prix Emas Terbuka Thailand, awal bulan ini, namun kejayaan mara ke separuh akhir sudah cukup untuk melonjakkan Lin Dan ke tangga teratas dengan mengumpul 93,313 mata, mengatasi Chong Wei 91,898 mata.
Dua lagi jaguh China, Chen Long dan Chen Jin kekal di tangga ketiga dan keempat. Kejatuhan ini bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Chong Wei di Olimpik London kerana undian dan pemberian status pilihan dilakukan berdasarkan ranking pada 3 Mei, 2012.
Bermakna, Chong Wei akan tetap sebagai pilihan pertama.
Begitupun, kejatuhan ranking dikhuatiri akan memberi kesan negatif terhadap psikologi bekas juara All England dua kali itu, apatah lagi persiapannya menghadapi Temasya London sebelum ini sudahpun berdepan pelbagai gangguan, daripada masalah kecederaan hinggakan isu peribadi.
“Tidak.. tidak.. saya tidak fikir kejatuhan ranking dunia akan menjejaskan moral atau semangat Chong Wei kerana ia adalah isu yang sudah kami bincangkan sejak bulan lalu. Kami telah bercakap tentang perkara ini (kemungkinan ranking jatuh) sebaik dia mengalami kecederaan, malah kami juga sudah buat perkiraan sendiri. Jadi, apabila keputusan keluar hari ini, ia bukan lagi sesuatu yang mengejutkan.
“Chong Wei hilang banyak mata apabila dia menarik diri daripada Terbuka Indonesia. Semua itu disebabkan faktor kecederaan dan bukan prestasi. Jadi, Lin Dan boleh memintas biarpun tanpa perlu menjuarai Terbuka Thailand, ini adalah situasi yang tidak boleh dielakkan,’’ ujar jurulatih perseorangan kebangsaan, Tey Seu Bock.
Sementara itu, Muhammad Hafiz Hashim naik tiga anak tangga dengan melonjak ke ranking 27 dunia, manakala Liew Daren kekal di tangga ke-31 dan Chong Wei Feng 37.
Dalam acara beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menerima suntikan menjelang Olimpik, apabila naik dua anak tangga ke kedudukan keenam. Pasangan Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae merampas takhta No. 1 dunia daripada beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng.
Pasangan muda negara, Lim Khim Wah-Goh V Shem memperbaiki satu anak tangga ke ranking 26 dunia. Beregu KLRC, Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari pula naik lima tangga ke kedudukan 30 dunia selepas mempamer peningkatan prestasi pada Terbuka Thailand dan Terbuka Indonesia. - UTUSAN
0 comments:
Post a Comment