Pages

Monday, May 7, 2012

Terjunan emas Pandelela


PANDELELA menepati ramalan apabila meraih emas dalam acara 10 meter platform.

JIKA kelmarin jaguh terjun negara, Bryan Nickson Lomas dan rakan, Huang Qiang merangkul emas, semalam giliran ratu terjun negara, Pandelela Rinong pula membuatkan skuad terjun negara tersenyum lebar..

Seperti yang dijangkakan, Pandelela meraih emas dalam acara kegemarannya, 10 meter platform pada sirkit kedua Grand Prix Terjun Fina di Montreal, Kanada.

Pada aksi final semalam, Pandelela berjaya mengutip 379.70 mata, sekali gus mengatasi atlet tuan rumah, Roseline Filion di tempat kedua.

Bermula dengan 343.50 mata pada aksi saingan separuh akhir B, Pandelela berjaya melonjak dan memperbaiki terjunan pada percubaan terakhir untuk mencatat 379.70 mata.

Peserta Australia sekadar memungut gangsa menerusi Melisa Wu yang mencatat 360.85 mata.
Meskipun tanpa kelibat penerjun handalan China iaitu Chen Roulin dan Hu Yadan, Pandelela tetap membuktikan kemampuannya sebagai penerjun terbaik dalam acara tersebut.

Biarpun sekadar berada di tempat kelima dalam acara 10 meter platform dengan catatan mata 301.32 kelmarin, nyata ia tidak melemahkan semangat ratu terjun negara itu.

Malah, dia menebusnya dengan meraih emas di hari akhir kejohanan.
Selepas ini, skuad terjun negara akan bertanding dalam sirkit ketiga Grand Prix Terjun Fina di Fort Lauderdale, Amerika Syarikat yang bermula pada 10 hingga 13 Mei ini.



KOSMO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...