Pages

Tuesday, May 22, 2012

Beasley optimis kita mampu kutip emas Olimpik

MELBOURNE - Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley yakin inspirasi dan semangat yang dipamerkan pelumba-pelumba trek mampu untuk membawa kejayaan meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2012 London, Julai ini.

Menurut Beasley, dia begitu yakin sambil berharap mereka (pelumba) mampu menterjemahkannya pada hari yang sesuai.

"Kami tidak takut beraksi menentang Chris Hoy atau sesiapa sahaja," kata jurulatih berusia 50 tahun itu dengan meletakkan harapan tinggi kepada pemenang pingat perak Kejohanan Trek Dunia, Azizulhasni Awang atau dikenali sebagai Pocket Rocketman.

Azizulhasni akan bersaing dengan juara Sukan Komanwel 2010, Josiah Ng bagi merebut tempat mewakili negara dalam acara keirin.

Sementara Fatehah Mustapa pula akan menjadi pelumba wanita trek pertama negara beraksi di temasya tersebut juga dalam acara keirin.

Josiah, 32, yang dibesarkan di California mencipta sejarah buat negara selepas berjaya beraksi dalam acara akhir keirin di Sukan Olimpik 2004 Athens.

"Ketika itu semua orang di Malaysia buat kali pertama membuka mata dan berkata siapakah pelumba ini dan apakah acara yang disertainya. Ia bukanlah badminton acara yang mendapat sambutan di Malaysia.
"Begitu juga dengan rakan senegaranya, Azizulhasni yang dilihat mempunyai peluang tipis untuk menyinar tetapi mengejutkan seluruh dunia dengan beberapa kejayaan yang dicatatkan," kata Beasley.

Bola sepak kekal menjadi sukan kegemaran di Malaysia sementara badminton pula menjadi harapan untuk memenangi pingat di Olimpik tetapi berbasikal sekarang ini menjadi sukan yang mencatatkan pencapaian di peringkat antarabangsa.

"Saya rasa Azizulhasni bersedia untuk mengorak langkah lebih jauh. Dia sudah tentu mahu memenangi pingat emas, jadi dia akan kecewa jika tidak berjaya meraihnya. Seandainya berjaya mara ke akhir, apa sahaja boleh berlaku.

Katanya, kejayaan yang dicatatkan oleh pelumbanya menjadi satu fenomena di Malaysia apabila jumlah pelumba meningkat dari 200 hingga ke 7,000 pelumba.

"Australia yang merupakan kuasa besar berbasikal mempunyai 20,000 pelumba termasuk trek dan lebuh raya. Di Malaysia pula ia seperti satu ledakan, jadi saya rasa perkara ini seharusnya perlu terus berkembang," katanya.



- REUTERS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...