Pages

Monday, April 23, 2012

ASUM jamin pulihkan kecederaan Pandelela

KESATUAN Renang Amatur Malaysia (Asum) kini lebih menumpukan kepada pemulihan kecederaan atletnya terutama ratu terjun negara, Pandelela Rinong selepas tamatnya empat saingan Siri Dunia Terjun, kelmarin.
Setiausaha Kehormat, Edwin Chong berkata, Asum akan menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap kesakitan belakang Pandelela menjelang temasya berprestij, Olimpik London, Julai ini.

“Selepas saingan siri kedua di Beijing, Pandelela mula sakit belakang dan kami menyediakan khidmat tukang urut buatnya sepanjang baki dua saingan lagi, di Moscow dan Tijuana.
“Selepas Siri Dunia kelmarin, kami akan memeriksa tahap kesihatan Pandelela dengan lebih terperinci sejurus pulang ke tanah air bagi memastikan dia cergas sepenuhnya untuk berdepan saingan utama di London.

“Tapi ia tidak bermakna kami memandang remeh penerjun lain. Kami akan memastikan setiap penerjun bebas daripada kecederaan dan sedia menyahut cabaran negara menyumbang pingat pertama di Olimpik,” katanya.

Mengulas pencapaian terbaik Pandelela dan Mun Yee di empat saingan Siri Dunia, bermula di Dubai pada 16 hingga 17 Mac lalu, diikuti Beijing (23-24 Mac), Moscow (13-14 April) sebelum berakhir di Tijuana, Mexico, (20-21 April), Edwin berkata, kedua-dua permata Asum itu mempamerkan prestasi konsisten.

Meskipun Pandelela menduduki tangga kelima acara 10 meter platform individu dan 10m platform seirama dengan Mun Yee, kedua-duanya berjaya menduduki kelompok tiga terbaik dunia keseluruhan.

Untuk acara individu, Pandelela menduduki tangga kedua keseluruhan di belakang juara dari China, Chen Roulin dan rakan seangkatannya Hu Yadan berada di tangga ketiga. Manakala, Pandelela-Mun Yee menduduki tangga ketiga keseluruhan di belakang, Roulin-Wang Hao di tempat pertama dan Meaghan Benfeito-Roseline Filion dari Kanada, kedua.


HARIAN METRO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...