Pages

Wednesday, July 11, 2012

Sokongan 27 Juta Rakyat Malaysia Iringi Perjuangan Atlet Di Olimpik Dan Paralimpik - Najib

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sokongan dan doa 27 juta rakyat Malaysia akan mengiringi perjuangan atlet negara yang akan bersaing di temasya Olimpik dan Paralimpik di London pada hujung bulan ini.

Beliau berkata walaupun sokongan itu bukan secara fizikal sebaliknya lebih kepada spiritual, kejayaan di kedua-dua temasya itu akan menjadi pencetus rasa optimis bukan sahaja kepada atlet tetapi juga kepada rakyat Malaysia.

"Bila sahaja atlet Malaysia melangkah ke gelanggang, mereka tahu seluruh rakyat berada di sisi," katanya ketika menyampaikan amanat kepada anggota kontinjen negara ke temasya Olimpik di London yang akan bermula dari 27 Julai hingga 12 Ogos manakala Sukan Paralimpik yang akan berlangsung di venue sama dari 29 Ogos hingga 9 Sept.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di pejabat Perdana Menteri itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta anggota Kabinet.

Najib berkata sukan merupakan satu bidang penting kepada agenda negara dan kerajaan tidak pernah meminggirkan bidang berkenaan terutama dalam usaha untuk membina negara bangsa.

"Kejayaan dalam bidang sukan bukan diukur daripada pendapatan perkapita sahaja tetapi juga diukur daripada perasaan rakyat.

"Kejayaan dalam sukan melangkaui pencapaian emas yang diraih kerana kejayaan itu juga adalah sinonim dengan kejayaan Malaysia. Kejayaan itu juga boleh menjadi pencetus rasa optimis terhadap negara dan masa depan," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan menghargai pengorbanan atlet dengan memberikan insentif wang tunai melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

Pemenang pingat emas Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000). Mereka juga diberi pencen sepanjang hayat. Pemenang emas menerima RM5,000, perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).

Pemenang pingat emas bagi Paralimpik pula akan menerima insentif RM300,000, perak (RM200,000) dan gangsa (RM100,000).

Najib berkata kerajaan juga memberikan penghormatan berbentuk anugerah bintang kebesaran kepada atlet negara.

"Di antara penerima ialah Tan Sri Dr M. Jegathesan (olahraga), Tan Sri Ghani Minhat (bola sepak) serta pelbagai lagi pingat yang diberikan melalui kerajaan persekutuan ataupun negeri," katanya.

Pada majlis itu, Najib menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara ke Olimpik, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan ketua kontinjen ke Paralimpik, Datuk Zolkples Embong.

Seramai 13 atlet kontinjen Olimpik dan 16 atlet Paralimpik turut menghadiri majlis berkenaan.

Sehingga tamat masa kelayakan bagi Sukan Olimpik pada Isnin, seramai 30 atlet Malaysia disahkan akan beraksi di London melalui lapan jenis sukan iaitu akuatik, badminton, berbasikal, lawan pedang, memanah, menembak, pelayaran dan olahraga.

Bagi paralimpik pula, 23 atlet menempah tiket ke London melalui acara berbasikal, memanah, pelayaran, ping-pong, powerlifting, renang dan olahraga.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...