Pages

Friday, July 6, 2012

Khairul Nizam Mampu Tempatkan Diri Dalam Kelompok 20 Pelayar Olimpik Terbaik


KUANTAN, 6 Julai (Bernama) -- Pelayar elit negara Khairul Nizam Mohd Afendy dilihat berkeupayaan untuk menempatkan diri dalam kelompok 20 pelayar Olimpik terbaik pada penampilan sulungnya di temasya Sukan Olimpik, London bulan ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah membuat pemerhatian itu berdasarkan prestasi cemerlang Khairul Nizam mengemudikan jenteranya pada setiap kejohanan kebangsaan dan antarabangsa yang disertainya.

"Khairul Nizam mampu buktikan prestasinya yang terbaik kerana beliau masih muda, lagipun dia memang bersemangat setiap kali mengambil bahagian dalam setiap kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa," kata Mohd Afendy, yang juga bapa Khairul Nizam kepada Bernama, di sini pada Jumaat.

Khairul Nizam, 19, layak mewakili Malaysia ke temasya Olimpik setelah mempamerkan aksi hebat pada Kejohanan Laser Standard Dunia di Boltenhagen, Jerman, Mei lepas.

Kali terakhir atlet Malaysia menyertai Sukan Olimpik dalam acara sukan layar ialah di Beijing, China melalui Kevin Lim empat tahun lepas.

Meskipun MYA tidak meletakkan sasaran pingat untuk diraih Khairul Nizam, pelayar muda itu diyakini dapat mencatatkan pencapaian lebih baik daripada Kevin Lim yang berada di kedudukan 22 pelayar terbaik pada Olimpik Beijing, katanya.

Pelajar Sarjana Muda Pengajian Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara itu yang mula berjinak-jinak dalam sukan pelayaran pada usia lima tahun, kini berada di Perancis bagi menyertai kejohanan Laser Standard European sejak 30 Jun lepas sehingga Sabtu.

Mohd Afendy berkata beliau dimaklumkan Khairul Nizam berjaya meletakkan diri di kedudukan ke-14 daripada 98 pelayar pada kejohanan di Perancis itu semalam.

"Bagi kita, ini permulaan baik bagi Khairul Nizam untuk menambahkan keyakinan beliau sebelum beraksi di Sukan Olimpik, London nanti," katanya yang berada di sini untuk menyaksikan kejohanan Perahu Layar Sukan Malaysia (Sukma) di Pantai Balok.

Khairul Nizam dijadual tiba di Kuantan pada Isnin ini bagi memberi sokongan kepada kakak dan adik perempuanya iaitu Khairunnisa Mohd Afendy,20 dan Khairuneeta Mohd Afendy, 17 yang akan beraksi di kejohanan perahu layar Sukma ke-15 di sini.

Mohd Afendy berkata sukan pelayaran negara tidak akan ketandusan dalam melahirkan pelayar bertaraf antarabangsa kerana kini sudah ramai atlet pelayaran pelapis muda yang berpontensi besar mengharumkan nama negara.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...