Pages

Friday, July 13, 2012

Chong Wei Mahu Beri Fokus Sepenuhnya Kepada Latihan Di Bath University



SEPANG, 13 Julai (Bernama) -- Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei mahu memberi fokus sepenuhnya kepada latihan skuad badminton negara selama 12 hari di Bath University, United Kingdom (UK), bermula Ahad ini.

Pemain nombor dua dunia itu berkata latihan tersebut amat penting bagi mempersiapkan beliau dan juga pemain lain bagi menghadapi Sukan Olimpik London bermula 27 Julai ini.

"Latihan selama 12 hari itu penting kepada saya dan rakan sepasukan kerana ia merupakan tempoh genting untuk saya pulih daripada kecederaan (buku lali) serta persiapan menghadapi lawan pada Olimpik nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum bertolak ke London bagi menghadapi temasya sukan tersebut.

Selain Chong Wei, turut serta bertolak ke London ialah lima lagi pemain iaitu beregu lelaki Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong, beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, perseorangan wanita Tee Jing Yi dan beberapa pegawai Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).



Chong Wei, 29, berkata latihan tersebut juga merupakan medan terbaik untuk skuad negara mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal mereka sebelum menghadapi temasya sukan tersebut.

Beliau turut mengulangi janji beliau untuk memberikan persembahan terbaik pada temasya sukan tersebut sebelum bersara dari arena badminton dunia pada 2014.

"Saya harap, saya boleh memberi persembahan terbaik bersama rakan sepasukan sebelum bersara... saya harap rakyat di negara kita serta yang berada di London memberikan sokongan padu kepada kami ketika beraksi nanti," katanya yang akan membuat penampilan terakhir di Olimpik selepas edisi 2004 di Athens, Greece 2004 dan Beijing, China 2008.

Bath University terletak di Somerset, 156km dari kota London.


-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...